KUALA TERENGGANU - Seramai 28 murid pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong, Setiu terlibat dalam aktiviti penanaman tiga jenis durian hibrid musang king (D197), udang merah (D175) dan MDUR88.
Guru Pendidikan Khas, Muhd Azrul Khusairi berkata, pendedahan terhadap aktiviti tanaman di bawah subjek Pendidikan Khas Kemahiran Hidup (Pertanian) itu sebagai persediaan kepada para pelajar untuk mengetahui dan melihat secara dekat kelebihan tanaman durian klon.
"Aktiviti semaian anak benih telah bermula sejak 15 Julai lalu iaitu dengan keseluruhan sebanyak 150 polibeg dengan tiga pokok di dalam setiap satu polibeg yang akan diklon dengan pokok terpilih.
"Buat waktu ini terdapat 20 polibeg yang berjaya diklonkan dengan lima daripadanya dilakukan sepenuhnya oleh para pelajar sendiri,” katanya.
Ditanya dari mana benih yang diperoleh bagi semaian itu, katanya, ia adalah biji daripada durian yang dibeli oleh guru untuk dinikmati oleh pelajar ketika musim raja buah itu sedang rancak mengeluarkan hasil dan hangat di pasaran.
"Sebelum ini kita lihat ramai pelajar yang suka makan durian, jadi kita suruh mereka simpan biji dari mana-mana durian yang cikgu beli dan rasanya sedap untuk digunakan bagi semaian anak benih.
"Bagi durian jenis MDUR88 pula, benihnya kita peroleh dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),” katanya.
Menurut Muhd Azrul, para pelajar boleh membawa pulang hasil tanaman durian klon itu selepas ia mencecah usia lima bulan.
"Buat masa ini tanaman itu telah mengeluarkan pucuk dan dalam tempoh lima bulan ketika ia mencecah ketinggian empat kaki, para pelajar boleh bawa pulang untuk ditanam di kawasan rumah masing-masing.
"Kelebihan bagi tanaman klon ini ia boleh berbuah dalam tempoh yang tidak lama iaitu lima hingga enam tahun. Bagi pelajar yang jaga betul-betul tanaman mereka dalam tempoh itu mereka sudah boleh tuai hasil,” katanya.