Pelajar kurang pendengaran ajar bahasa isyarat

Iklan
Murid Berkeperluan Khas (MBK) Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok dijemput sebagai fasilitator untuk mengajar bahasa isyarat kepada kira-kira 55 mahasiswa UUM.

SINTOK - Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatukan dua dunia menerusi program 'Bless: We Are Unique!' yang merupakan bengkel bahasa isyarat sempena Hari Bahasa Isyarat Sedunia, di Inasis Sime Darby baru-baru ini.

Seramai 10 pelajar kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK) Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok dijemput untuk menyertai program ini sebagai fasilitator untuk mengajar bahasa isyarat kepada kira-kira 55 mahasiswa UUM.

Iklan
Iklan

Pengetua INASIS Sime Darby, Dr Rohani Abdullah berkata, para pelajar berkeperluan khas ini sangat teruja datang ke UUM dan ini merupakan kali pertama mereka sampai ke UUM.

"Secara peribadi, kehadiran mereka ini amat menyentuh hati kerana kelainan serta kekurangan yang ada pada anak-anak ini tidak membataskan mereka untuk bersosial dan beraktiviti dengan pelajar UUM.

Iklan

"Selama ini fokus terhadap golongan OKU ini jarang-jarang diketengahkan disebabkan diskriminasi dan persepsi terhadap golongan ini justeru Inasis Sime Darby membantu untuk mendidik masyarakat bahawa golongan kelainan upaya ini juga adalah sebahagian daripada masyarakat,"katanya.

Katanya, bengkel ini bertujuan untuk memecahkan tembok yang dibina sejak sekian lama dalam dunia komunikasi yang telah mewujudkan jurang yang besar antara golongan kurang pendengaran dan golongan normal.

Iklan

"Bengkel ini adalah salah satu usaha dalam memartabatkan bahasa isyarat dalam masyarakat setempat sebagaimana bahasa-bahasa asing menjadi keutamaan kepada masyarakat dalam komunikasi seharian.

Murid Berkeperluan Khas (MBK) Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok dijemput sebagai fasilitator untuk mengajar bahasa isyarat kepada kira-kira 55 mahasiswa UUM.

"Ini kerana golongan kurang pendengaran juga layak menjalani kehidupan yang normal seperti golongan lain jadi sebagai rakyat Malaysia yang berprinsipkan ‘bersatu teguh, bercerai roboh’, kita amat digalakkan untuk menguasai asas-asas bahasa isyarat dalam mewujudkan interaksi harmoni antara masyarakat," katanya.

Tambahnya, inisiatif ini mampu membina rasa hormat terhadap kekurangan dan kelebihan seseorang individu serta perasaan syukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh-Nya.

Menurut pelajar Sarjana Muda Undang-Undang, Nurul Hazirah Che Husin, 22, dari pemerhatiannya mereka kelihatan normal, sama seperti remaja yang lain dan sukar untuk dibezakan.

"Bila mendekati mereka rupa-rupanya mereka tidak boleh bercakap dan menggunakan tangan bila berinteraksi.

"Tidak susah untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 dan 5 kerana mereka mudah mesra dengan sesiapa sahaja sekali gus merapatkan jurang antara masyarakat dengan mereka yang kelainan upaya," katanya.

Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Insuran dan Risiko, Kasthury Muthuraman teruja dapat belajar bahasa isyarat dengan pelajar yang sungguh ceria.

"Pada awalnya rasa macam susah sikit tetapi dengan bimbingan mereka yang tidak lekang dengan senyuman kami semua seronok dapat belajar sedikit sebanyak tentang bahasa isyarat.

"Apa jua perkara jika disertai dengan usaha yang berterusan pasti menjadi mudah. Di akhir program, kami berjaya menyanyikan lagu biru warna menggunakan bahasa isyarat. Koir kod tangan lagu berjudul Biru Warna lagu rasmi UUM adalah bukti kejayaan bengkel bahasa isyarat ini,"katanya.

Katanya, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program ini dan berpeluang mengunjungi lokasi menarik sekitar UUM antaranya taman rusa, burung unta, Pusat Ekuin serta Puncak Vista.