Otai Harimau Malaya kongsi ilmu

Iklan
Hamidin bersama bekas pemain-pemain Harimau Malaya selepas pertemuan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Foto: Football Association of Malaysia (Official)

PEMAIN-pemain yang dipanggil mengalas cabaran Harimau Malaya perlu memberikan aksi sepenuh jiwa supaya tampil lebih konsisten setiap kali beraksi pada sesuatu perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Hassan Sani berkata, menjadi satu penghormatan kepada setiap pemain bola sepak apabila mendapat peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Iklan
Iklan

"Pada saya peluang ini tidak datang selalu jadi mereka perlulah memanfaatkan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dengan beraksi demi negara, fokus dan perlu berani mencabar diri menjadi yang terbaik.

"Tapi semua berbalik semula kepada pemain-pemain yang menyarungkan jersi Harimau Malaya untuk benar-benar beraksi demi negara

Iklan

"Skuad kebangsaan kita sebenarnya ada peningkatan daripada Thailand, Vietnam dan Singapura, kita cuma perlu fokus untuk konsisten.

"Zaman kami dahulu bukan mudah untuk bermain dalam skuad kebangsaan, jadi kami main betul-betul untuk negara, sanggup mati dan lakukan apa sahaja. Pemain juga perlu lebih cergas dan disiplin," katanya yang pernah mendapat jolokan 'lipas kudung' negara kerana ketangkasannya di padang.

Iklan

Hassan berkata demikian selepas sesi pertemuan bekas pemain Harimau Malaya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) anjuran badan induk bola sepak negara itu di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Antara bekas pemain lain yang diundang ialah Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Jamal Nasir, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, Azman Adnan, K Gunalan, Malek Rahman, Stanley Bernard, Hasnizam Uzir dan Asmawi Bakiri.

Sementara itu, Santokh menyifatkan inisiatif FAM mengadakan pertemuan dengan bekas pemain kebangsaan itu satu perkembangan positif ke arah memajukan arena bola sepak negara pada masa depan.

"Pengalaman kami selaku orang lama dalam bola sepak kini didengar demi bola sepak negara, terima kasih Datuk Hamidin Mohd Amin

"Setiap dari kami melontarkan idea secara telus sebentar tadi. Namun bagi pendapat saya, kita perlukan 'back-up' team untuk memastikan kelangsungan pemain setiap kali perlawanan, contohnya team A dan team B yang dua-dua sama kuat.

"Itu bermaksud kita tidak perlu risau andai kata ada pemain cedera, sebagai contoh jika Azam Azih cedera kita terus ada seorang lagi pemain miripnya sebagai ganti tanpa membuang masa," katanya.

Bagi Chin Aun pula semua bekas pemain negara yang hadir ialah pemain bola sepak terbaik suatu ketika dulu mengikut generasi peredaran zaman.

"Hari ini kita bukan sahaja dapat 'reunion' malah sama-sama dapat berdebat, berbincang memberi pandangan masing-masing kerana bola sepak ini terutama peraturannya sering berubah mengikut peredaran zaman, maka untuk dibandingkan cara kami dahulu dan sekarang lain.

"Maka kami berbesar hari kerana diberi peluang membantu pasukan kebangsaan dari segi memberi pendapat dan idea terbaik untuk skuad kebangsaan.

"Setiap dari kami tadi mempunyai pandangan berbeza. Cuma bagi saya kita tidak jauh beza dengan Thailand dan Vietnam, yang mana standard pemain kita mampu setara dengan mereka cuba perlu baiki lagi," katanya.

Sementara itu, Hamidin yang juga Presiden FAM berkata, pertemuan itu bertujuan membuka peluang kepada bekas pemain kebangsaan yang pernah melonjakkan nama Harimau Malaya satu ketika dahulu melontarkan idea umpama 'brainstorming' untuk membantu memberi buah fikiran memartabatkan lagi bola sepak negara.

"Sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi skuad bola sepak kebangsaan.

"Perbincangan bersama bekas pemain seumpama ini adalah yang pertama kali diadakan, hasilnya sangat bernas dan kami akan mengguna pakai pandangan mereka untuk memperbaiki lagi skuad kebangsaan," katanya.