Tun M, isteri terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif

Iklan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (dua dari kiri) hadir pada Majlis Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Ke-15 di Aswara hari ini. Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (dua dari kanan). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke-15 hari ini.

Dr Mahathir dan Siti Hasmah masing-masing menerima Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif) yang disampaikan oleh Rektor Aswara Prof Madya Sahar Sa' di Hashim di Akademi Aswara di sini.

Iklan
Iklan

Penganugerahan itu sebagai penghargaan dan penghormatan tinggi terhadap Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah di atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membangun serta melestarikan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Iklan

Istiadat konvokesyen itu menyaksikan 171 graduan daripada tujuh fakulti menerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dan Diploma manakala lima graduan daripada Pusat Pengajian Pasca Siswazah menerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif.

Aswara terdiri daripada Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Penulisan Kreatif dan Filem, Tari, Teater, Muzik, Animasi dan Multimedia dan Rekaan Komunikasi Visual.

Iklan

Aswara yang telah beroperasi selama 25 tahun merupakan institusi pengajian tinggi khusus dalam bidang seni yang menawarkan 28 program akademik di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah.

Kesemua program itu mendapat pengiktirafan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). - Bernama