GEORGETOWN - Ekonomi Pulau Pinang tidak terjejas dalam tempoh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China malah Pelaburan Langsung Asing (FDI) meningkat dua kali ganda sehingga mencapai RM9.2 bilion.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bagaimanapun berkata, kerajaan negeri masih memerhati kesan jangka panjang akibat peperangan perdagangan tersebut.
Menurutnya, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi tempoh Julai hingga Disember 2018 statistik pelaburan baharu asing dan pelaburan semula asing masing-masing berjumlah RM557.2 juta dan RM2.4 bilion.
"Bagi tempoh sama tahun ini, pelaburan baharu dan pelaburan semula tempatan masing-masing berjumlah RM617 juta dan RM202.4 juta. Keseluruhan jumlah pelaburan baharu dan pelaburan semula bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM3.8 bilion," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.
Ahmad Zakiyuddin (PKR- Pinang Tunggal) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan NorHafizah Othman (BN- Permatang Berangan) terhadap kesan ke atas Pulau Pinang berhubung kejatuhan ringgit dan krisis diplomatik negara luar.
Beliau menambah, untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini pelaburan baharu asing dan pelaburan semula asing berjumlah RM1.8 bilion dan RM6.9 bilion.
"Bagi tempoh sama, pelaburan baharu tempatan dan pelaburan semula tempatan masing-masing berjumlah RM179 juta dan RM327.5 juta. Keseluruhan jumlah pelaburan baharu dan pelaburan semula bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM9.2 bilion.
"Berdasarkan rekod InvestPenang, tiada kilang atau syarikat yang menghentikan operasi atau berpindah keluar daripada Pulau Pinang dari Mei 2018 hingga sekarang. Namun, bagi tahun ini, Osram Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn Bhd melaksanakan pemberhentian pekerja secara voluntary separation scheme (VSS).
"Pelaksanaan VSS ini melibatkan kurang daripada 50 pekerja atau 1 peratus daripada bilangan pekerja OSRAM di Pulau Pinang dan Kulim. Selain itu, kilang Renesas Semiconductor (Malaysia) Sdn Bhd (Renesas) juga membuat penutupan operasi sementara bermula 1 April hingga 30 September lalu," katanya.
Ahmad Zakiyuddin berkata, berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia, statistik kemasukan pelancong asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada tahun 2017 adalah 600,537 dan 570,499 pada tahun lalu.
"Bagi tahun ini sehingga September lalu, jumlah kemasukan pelancong adalah 557,800 orang. Hasil yang diperoleh daripada sektor pelancongan tidak direkodkan secara khusus namun berdasarkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang, sub-sektor paling hampir yang boleh menjelaskan hasil sektor pelancongan adalah melalui sektor berasaskan perkhidmatan.
"Berdasarkan sumber Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan sub-sektor ini kepada KDNK Pulau Pinang pada 2017 adalah RM43.4 bilion manakala pada tahun lalu, ia menyumbang sebanyak RM46.1 bilion. Data KDNK Pulau Pinang bagi tahun ini masih belum dikeluarkan," katanya.