Sultan Nazrin tegur rakyat ambil kesempatan

Iklan
Sultan Nazrin (tengah) berkenan bersalaman dengan tetamu pada Majlis Sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (kiri). - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur sikap segelintir umat Islam yang dilihat terlalu suka mengambil kesempatan apabila berlakunya kemalangan jalan raya atau musibah.

Baginda turut mempersoalkan sama ada tahap kemiskinan rakyat dalam negara ini begitu mudarat sehingga bertindak mengambil makanan bukan hak mereka dari sesebuah kenderaan yang ditimpa kemalangan.

Iklan
Iklan

"Jika demikian tahap kemiskinan yang mereka alami, sehingga terlupa hukum halal haram, ternyata ada institusi, termasuk institusi agama yang tidak memenuhi tanggungjawab membantu nasib penduduk yang sedemikian darurat, daif dan miskin.

"Masyarakat Melayu Islam pada satu ketika dahulu tersohor dengan nilai-nilai murni dan prinsip integriti yang luhur. Ada dalam kalangan mereka sanggup berjalan kaki, berbasikal mencari ataupun menyampaikan ilmu di rumah-rumah serta madrasah. Sikap itu tidak lagi kelihatan selepas negara mencapai kemerdekaan," titah baginda.

Iklan

Sultan Nazrin bertitah demikian sewaktu berkenan menyampaikan titah ucapan pada sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Titah baginda, meskipun bilangan cendekiawan Melayu Islam kian bertambah di negara ini, namun kejadian rasuah dan pecah amanah pada skala besar masih terus berlaku seperti dilaporkan media ketika ini.

Iklan

"Apakah nila yang merosakkan 'susu? Apakah petualang yang merosakkan nilai mulia, nilai terhormat dan nilai murni yang dimiliki umat Islam di bumi ini pada satu masa dahulu?

"Nilai murni tidak boleh diuar-uarkan atau dimegahkan dengan kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang sudah pun menjadi sejarah.

"Tidak siapa yang akan mempedulikan apa yang diuar-uarkan, jika yang diuar-uarkan sangat bercanggah dengan sifat dan watak yang menjadi bukti hidup yang sedang disaksikan oleh dunia pada hari ini," titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah, umat Islam mempunyai tanggungjawab besar bagi membantu negara, merangka formula, memperkenalkan program-program Islam yang lebih berkesan selain harus mentransformasikan minda dan jiwa agar menjadi minda dan jiwa merdeka dengan meletakkan sepenuh pengabdian kepada ALLAH.

Titah baginda lagi, didikan di rumah berkesan menyemai nilai-nilai keinsanan yang amat berharga lagi murni, di samping mencontohi teladan baik daripada guru-guru yang memberikan bimbingan kepada baginda.

Baginda bersyukur berayahanda seorang hakim dan berbonda seorang guru yang amat tegas mengutamakan ilmu, disiplin, amanah, jujur, ikhlas, peraturan serta kebenaran dan kepalsuan, lalu berjaya menyemaikan nilai-nilai tersebut ke dalam hati sanubari lima orang didik (anakanda) baginda berdua.

"Beta menghargai contoh teladan dan asuhan yang amat berkesan yang ditinggalkan oleh para guru, menyampai dan mengembangkan ilmu pengetahuan.

"Nilai-nilai yang disemai oleh ayahanda dan bonda, diperlengkap asuhan guru, telah membina keyakinan dalaman, mengukuhkan diri beta untuk berdiri atas kalam kebenaran, bersuara atas hakikat kenyataan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah dalam berperanan sebagai Amirul Mukminin (pemimpin), untuk menyempurnakan amanah dan memenuhi harapan rakyat, asuhan yang asas dan permulaan semasa dalam usia persekolahan amat besar peranannya.

"Beta amat insaf akan serba-serbi kedaifan dan kurang kearifan beta dalam hal ehwal Islam. Didikan yang diterima dalam keluarga terlalu asas kandungannya dan pengajian dalam masa yang terbatas daripada guru al-Quran yang datang ke rumah, begitu permulaan isinya.

"Didikan dan pengajian yang begitu terbatas yang diperoleh dalam 14 tahun pertama usia beta sebelum melanjutkan pelajaran keluar negara, sekadar cukup untuk keperluan diri beta.

"Bak kata bidalan, ‘kecilnya duduk mengaji, besarnya tegak sembahyang’, mengupayakan beta memahami Rukun Islam yang lima, mengenali Rukun Iman yang enam, di samping dibimbing mengenai perkara-perkara asas yang ditakrif sebagai makruf dan mungkar," titahnya.