PONTIAN - Jentera Srikandi Bersatu mengamalkan sikap berpolitik yang matang dan tidak akan sesekali melancarkan serangan peribadi terhadap calon lawan semata-mata untuk meraih simpati pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya pada ketika ini hanya memfokuskan usaha untuk 'menceritakan' tentang dasar-dasar dilakukan kerajaan bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat terutama yang berada di luar bandar.
Selain itu, pihaknya juga mahu berusaha menerangkan tentang jasa Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, bekas wakil rakyat Parlimen itu kepada penduduk setempat.
"Kita (Srikandi) ceritakan apakah kebaikan yang dibawa atau pun visi dan misi kerajaan PH (Pakatan Harapan) pada masyarakat Tanjung Piai. Itu cara kempen di peringkat Srikandi, sebab itu kita sering membuat program yang lebih menyantuni rakyat bagi mendekatkan diri dengan mereka.
"Contohnya, sekarang ini di bawah kementerian, kita bukan sahaja menekankan pembangunan infrastruktur dan fizikal malah mahu mengimbanginya dengan pembangunan sosial ekonomi dan modal insan. Kalau tidak, sampai bila pun bila dikaitkan dengan luar bandar, ia akan dikaitkan dengan kemiskinan,” katanya.
Rina yang merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar ditemui ketika bersarapan bersama penduduk setempat di Warung Abang Dol di Kampung Duku, di sini, berkata demikian sebagai mengulas tindakan sesetengah pihak yang sanggup mewujudkan akaun Facebook palsu semata-mata untuk memburuk-burukkan calon parti PH, Karmaine Sardini, 66.
Isnin lepas, Timbalan Pengerusi Amanah Johor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad mendedahkan kewujudan akaun berkenaan yang berniat untuk 'merendah-rendahkan' Karmaine dengan cara yang sangat negatif.
PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini, susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid, 42, yang mewakili PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.
Karmaine berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas. - Bernama