Bersih 2.0 kecewa Kerajaan PH guna dana untuk pancing undi

Iklan
Keratan artikel Sinar Harian.

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyalahgunakan sumber kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini mengumumkan seramai 1,513 nelayan di selatan Johor termasuk 544 nelayan di Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 bermula minggu depan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, percubaan memancing undi daripada nelayan itu tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada namun ia jelas tidak beretika kerana menggunakan duit pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya.

Katanya, Bersih 2.0 menggesa Dr Sahruddin menghentikan pemberian peruntukan kerajaan yang lain sehingga selepas PRK.

Iklan

"Kerajaan PH perlu menunjukkan mereka mematuhi prinsip pilihan raya bebas dan adil.

"Kami sedia maklum bahawa tugas kerajaan perlu terus berjalan semasa PRK namun untuk kawasan yang sedang dipertandingkan sebarang pengumuman atau pemberian dan peruntukan perlu dihentikan sebaik sahaja kerusi tersebut diisytiharkan kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Selain Menteri Besar Johor, jawatankuasa itu turut merekodkan beberapa laporan menteri kerajaan persekutuan yang mengumumkan peruntukan wang tunai ketika lawatan ke Tanjung Piai iaitu sebelum dan semasa tempoh berkempen.

Antaranya, Menteri Belia dan Sukan,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

"Mereka menjustifikasikan peruntukan tersebut dengan menafikan untuk memancing undi namun kemurahan hati mereka yang kebetulan dengan PRK menjadikan alasan mereka sangat memalukan.

"Bersih 2.0 sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak mengatakan bahawa menteri-menteri ini telah melanggar undang-undang pilihan raya kerana undang-undang penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen masih belum digubal.

"Kami menggesa untuk semua penggubal undang-undang daripada semua parti menyokong reformasi pilihan raya dan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memastikan apabila tiba waktu pilihan raya, padang permainannya adalah sama rata,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Nelayan Tanjung Piai terima RM1,000 minggu depan: MB Johor