MELAKA TENGAH - Populasi babi hutan di negeri ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan sehingga sekali ganda berbanding tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, dalam tempoh lima tahun, sebanyak 483 aduan membabitkan konflik babi sama ada di kawasan perumahan mahupun kediaman penduduk yang berdekatan belukar.
Menurutnya, pada tahun ini sahaja, sebanyak 125 aduan diterima dan 457 ekor hidupan liar itu yang telah dihapuskan membabitkan 123 operasi hingga Oktober lalu.
"Daripada jumlah itu, 212 babi hutan telah ditembak ketika operasi diadakan di daerah Melaka Tengah diikuti daerah Jasin (128) dan Alor Gajah (97).
"Melihat peningkatan sekali ganda itu, kita bimbang dengan keadaan tersebut dan antara langkah yang dilakukan termasuk akan memasang sembilan buah perangkap babi selain membasmi dengan cara menembak," katanya.
Mohd Hasdi berkata demikian kepada pemberita selepas program membasmi dan pensampelan babi hutan yang diketuai Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee di Pulau Besar di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Veterinar Melaka, Dr Aidi Mohamad dan Pegawai Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan, Dr Chee Weng Kian.
Mengulas lanjut Mohd Hasdi berkata, sembilan buah perangkap babi hutan bernilai RM23,000 itu akan dipasang di kawasan 'hotspot' di negeri ini dalam masa terdekat antaranya di Semabok, Masjid Tanah, Bukit Katil dan Padang Temu.
Katanya, penggunaan perangkap tersebut telah banyak diaplikasi di negeri lain dan Melaka akan menggunakan semula kaedah itu kerana sebelum ini lebih banyak bergantung kepada kaedah menembak.
"Sebelum ini memang ada perangkap babi hutan, tiga empat tahun lalu, namun telah lama rosak dan kita dapatkan yang baharu kerana ketahanan besi perangkap kera lebih tinggi daripada besi perangkap babi hutan.
"Kita akan buat percubaan dan sekiranya keputusannya lebih positif, kita harap jumlah perangkap ini dapat ditambah pada peruntukan akan datang," katanya.
Sementara itu, Norhizam berkata, pihak berkuasa terlibat sering mengadakan operasi bagi membasmi babi hutan di Melaka.
"Memandangkan babi hutan cepat membiak, maka langkah pencegahan awal perlu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku seperti insiden penduduk diserang binatang tersebut," katanya.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Perhilitan dan Jabatan Veterinar turut mengambil sampel lima babi hutan yang berjaya ditembak mati di pulau itu bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengetahui spesies serta habitat asal haiwan berkenaan, selain penyakit berkaitan haiwan tersebut.