PONTIAN - Makanan tradisi masyarakat Bugis, burasak dan lepat loi menerima permintaan luar biasa daripada pengunjung yang datang ke daerah ini ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sejak dua minggu lalu.
Tidak sukar untuk mencari burasak kerana terdapat banyak kedai dan restoran menjual hidangan tradisi itu antaranya restoran Burasak Abah di Taman Utama Pekan Nanas di sini.
Pemiliknya, Ismail Ibrahim, 59, berkata, dianggarkan 200 keping burasak dan lepat loi mampu dijual sehari ketika musim PRK Tanjung Piai berbanding hari biasa yang hanya sekitar 20 hingga 50 keping.
Menurutnya, burasak dan lepat loi enak dimakan bersama asam pedas ikan parang, serunding dan rendang daging.
"Memang ramai orang luar yang datang nak makan burasak dan lepat loi. Masing-masing teruja hendak rasa hidangan masyarakat Bugis yang hanya ada di Pontian.
"Sekali rasa burasak dan lepat loi memang tak nak berhenti. Semua kata sedap dan ada 'kick' makan dengan asam pedas ikan parang," katanya.
Katanya, restoran Burasak Abah menjadi tumpuan pemimpin parti politik termasuk Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya tidak kira siapa dan mereka daripada parti politik mana. Semua yang datang saya sambut dengan senyuman dan berikan mereka rasa burasak dan lepat loi," katanya.
Ismail berkata, dia dan isteri, Sainah Nurong, 58, membuat sendiri burasak dan lepat loi menggunakan resipi turun temurun keluarganya.
"Burasak diperbuat daripada beras manakala lepat loi daripada pulut. Cara memasak sama seperti nasi lemak tetapi perlu dibalut dengan daun pisang kemudiannya direbus selama lapan jam," katanya.
Menurutnya, dia bersyukur dengan rezeki yang diterima ketika musim PRK Parlimen Tanjung Piai dan berharap agar keamanan dan kemakmuran masyarakat di Tanjung Piai dikekalkan.