BEIJING - China menguatkuasakan peraturan mengehadkan masa diperuntukkan untuk kanak-kanak bermain permainan dalam talian bagi mengatasi masalah golongan bawah umur ketagihan permainan berkenaan.
Peraturan itu menetapkan mereka yang berusia bawah 18 tahun hanya dibenarkan bermain permainan dalam talian hanya 90 minit pada waktu siang.
Golongan itu juga dilarang bermain permainan dalam talian antara jam 10 malam hingga 8 pagi.
Garis panduan itu juga mengehadkan jumlah wang yang boleh dihabiskan oleh kanak-kanak untuk permainan dalam talian kepada 200 RMB (RM118) sebulan atau sehingga 400 RMB (RM236) bagi remaja berusia antara 16 dan 18 tahun.
Peraturan baharu itu juga mewajibkan pemain mendaftarkan nama sebenar dan tambahan perincian seperti akaun WeChat, nombor telefon atau nombor kad pengenalan.
Menerusi kenyataan pada Selasa lalu, kerajaan turut menyeru pengeluar permainan dalam talian mengubah suai kandungan, fungsi atau peraturan permainan bagi mengelak ketagihan golongan muda.
China adalah pasaran permainan video terbesar di dunia, namun kerajaan mengambil langkah mengetatkan industri itu susulan peningkatan ketagihan permainan dalam talian dan masalah kesihatan termasuk rabun dalam kalangan kanak-kanak.
Peraturan baharu itu menjadi isu hangat yang dibincangkan di platform media sosial China, Weibo semalam, dengan 210 juta pandangan.
"Kenyataan itu bermaksud remaja tidak boleh bermain permainan dalam talian kerana kebanyakan remaja di China perlu pergi ke sekolah dari jam 6.30 pagi dan berakhir pada jam 10 malam," satu seorang pengguna.
Seorang pengguna mengemukakan pandangan, adalah lebih baik kerajaan memperkenalkan sistem penarafan permainan.
Malah, ada yang menganggap terlalu mudah untuk sesiapa mendapatkan nombor pengenalan diri palsu dalam talian yang diwujudkan semata-mata untuk membuat akaun.
Tahun lalu Beijing mengumumkan kawalan baharu ke atas jumlah permainan yang boleh dimainkan dalam talian, menghadkan siaran baru dan peraturan yang dikenakan ke atas pemain bawah umur untuk mengurangkan masa bermain mereka.