Abang, adik bergelar peguam syarie

Iklan
Mohd Nurfaiz (kanan) sentiasa berbincang dengan abangnya Mohd Zulkifli.

JOHOR BAHRU –"Abang jadi mentor saya untuk berkecimpung secara serius dalam bidang guaman syarie ini,” ujar Mohd Norfaiz Mohd Rusad, 32.

Mohd Norfaiz dan abangnya, Mohd Zulkifli, 49, yang berasal dari Benut, Pontian antara 180 penerima sijil guaman syarie negeri Johor dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Muzakarah Jabatan Kehakiman Syariah negeri di sini, semalam.

Iklan
Iklan

Anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, abangnya juga banyak memberi tunjuk ajar serta membantu sejak dari awal sehingga berjaya bergelar peguam syarie pada 2014.

Mohd Norfaiz kini bekerja di firma guaman milik Mohd Zulkifli dan mereka merupakan anak kepada Mohd Rusad Tibek, 75 dan Bechik Dumang, 70 yang pernah menerima Anugerah Keluarga Mithali Peringkat Kebangsaan tahun lalu.

Iklan

Sementara itu, Mohd Zulkifli memberitahu, dia sangat mendorong adiknya supaya mengikut jejak dalam kerjayanya itu kerana potensi bidang ini yang begitu meluas melibatkan kes kekeluargaan, hibah selepas penceraian dan sebagainya.

"Tidak dinafikan kami sering dan mudah berbincang dalam soal kerja apatah lagi kami bekerja di firma guaman yang sama.

Iklan

"Saya adalah peguam syarie dan sivil, jadi banyak tuntutan kes sivil diuruskan saya sendiri, manakala kes berkaitan syariah seperti perceraian diserahkan kepada adik saya,” katanya.

Sementara itu, pasangan suami, Zul Azam Md Dahlan, 36, dan isterinya, Siti Rabi’aah@Siti Adawiah Hatmin, 35, yang berkhidmat dalam bidang berkenaan sejak 2008 turut menerima sijil guaman syarie berkenaan.

Kata Zul Azam, hubungan buknlah penghalang sebaliknya memudahkan mereka menguruskan kes yang diterima memandangkan mereka bekerja di firma guaman sendiri.

"Kami mudah untuk berbincang dan menghadapi satu-satu kes itu. Apatah lagi kita boleh bertukar pendapat dan apa-apa masalah boleh dikongsi walaupun ada kalanya berbeza hujah antara satu sama lain.

"Mana kita rasa ia adalah positif untuk client (pelanggan), maka itu akan gunakan,” ujarnya.