Tabah sara enam anak

Iklan
Nazihah dan anak-anak

BALING - Seorang isteri tabah membesarkan enam anak dengan hasil jualan kuih selepas suaminya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sejak dua tahun lalu.

Nazihah Hamid, 38, dari Kampung Sungai Tembak berkata, suami, Muhamad Nasuha Abdul Razak, 40, yang bekerja sebagai peraih getah ditahan pada 28 September 2016 kerana dituduh sebagai pengganas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak itu, dia bersama anak berusia satu setengah tahun hingga 14 tahun hilang tempat pergantungan.

"Suami ditahan kerana dalam telefon bimbitnya ada gambar bendera warna hitam. Selain itu, suami dikatakan pengganas apabila derma kepada balu dan anak yatim di Syria.

Iklan

"Sekarang ini saya bantu mak jual makanan frozen di rumah. Sebulan dapatlah sekitar RM500 hingga RM600. Ikut jualan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Nazihah dan keluarga menerima kunjungan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Kupang di kediamannya di sini.

Iklan

Katanya, sebagai isteri dia lebih mengenali peribadi suami dan percaya Muhamad Nasuha bukannya pengganas.

"Tempoh tahanannya 13 tahun, tetapi selepas rayuan suami dijangka akan dibebaskan pada tahun 2022.

"Tak silap saya, suami derma RM300 untuk balu dan anak yatim. Hukuman padanya tak setimpal dengan apa yang dia buat. Saya kenal hati budi suami,” katanya.

Nazihah berkata, anak-anaknya sentiasa bertanya keadaan ayah mereka.

"Depa selalu tanya bila kita nak tengok ayah, yang selalu tanya anak umur enam dan empat tahun..Nurul Najah dan Naurah Ulfah.

"Anak-anak selalu sebut ayah bukan pengganas, ayah tak buat salah. Semua anak-anak nampak ayah depa ditahan dan digari depan mata di dalam rumah.

"Kebetulan pula waktu suami ditahan, dua anak baru balik dari sekolah tadika. Bila tengok kejadian tu pakat menangis la semua,” katanya.

Katanya, setiap sebulan sekali dia akan membawa anak-anaknya bertemu suami di penjara Tapah.

"Tapi boleh tengok macam itu saja, kami hanya dapat berbual dengan dipisahkan cermin kaca.

Kali terakhir anak-anak dapat pegang ayah depa pada September 2017 apabila dibenarkan berjumpa seketika.

"Saya harap undang-undang SOSMA dimansuhkan Mac ini seperti mana pernah disebut kerajaan baru supaya kami dapat keadilan sewajarnya,” katanya.

Untuk sumbangan boleh disalurkan kepada nombor akaun Agro Bank 2-00-5061-00012362-6 atas nama Nazihah Hamid atau hubungi PKWR Kupang di talian 04-476 1169, atau Pegawai Adun Kupang, Muhamad Nor Hashimi di talian 019-4447537.