Bahasa rojak jadi cabaran besar kepada DBP

Iklan
Abang Sallehuddin (kanan), Mohamed Hatta (dua dari kiri) dan Mohd Gazali (dua dari kanan) ketika merasmikan Festival Perkampungan Seni 2019 semalam. - Foto Asril Aswandi Shukor

KUALA LUMPUR - Penularan bahasa rojak adalah cabaran besar dihadapi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terutamanya dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom yang juga pencinta bahasa dan orang kuat DBP itu mengakui bahasa rojak akan merosakkan bahasa kebangsaan.

Iklan
Iklan

"Sebagai usaha dalam menghayati GDBK ini, kita memastikan bahawa semua iklan kita dalam bahasa Melayu, ayat pertama atau barisan pertama.

"Kalau ada bahasa Inggeris, tulisan Cina atau Tamil, ia ada di bawahnya bahasa Melayu yang pertama,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) Peringkat Kebangsaan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam.

Mohamed Hatta berucap pada Majlis Pelan­caran GDBK Peringkat Kebangsaan di Wisma DBP semalam. - Foto Asril Aswandi Shukor

Hadir sama, Wakil Menteri Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Iklan

Menurutnya, beliau bimbang sekiranya gejala itu berterusan, bahasa rojak akan membunuh atau paling tidak menyekat kesuburan bahasa Melayu.

"Bahasa rojak ini perlu diatasi dan cara untuk mengatasinya tidak sukar tetapi tidak mudah. Sebagai contoh apabila bercakap, kita habiskan satu ayat itu dalam satu bahasa. Kalau bercampur-campur, itulah rojak.

"Ada ketika kita perlu menukil atau menyebut frasa-frasa dalam bahasa aslinya. Kita menghabiskan ayat bahasa Melayu itu dengan nahunya, tatabahasa yang betul, kemudian kita boleh sebut frasa bahasa Inggeris.

"Itu bukan bahasa rojak tapi cara atau pendekatan menukil sesuatu petikan daripada sumber aslinya,” katanya.

Mohamed Hatta berkata, kempen GDBK dilakukan secara berterusan selama sedekad dan DBP akan melipatgandakan usahanya.

"Ia bermakna kempen ini lebih menyeluruh, melibatkan penulisan, kajian dan program melibatkan pelbagai kaum.

"Kita bandingkan dengan program pada tahun sebelum ini, kita lihat kelemahannya dan daripada situ kita perbaiki,” kata beliau.

Sementara itu, Abang Sallehuddin berkata, pihaknya akan berusaha untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai komersial dan ekonomi yang tinggi.

Katanya, sebahagian besar masyarakat kini beranggapan untuk maju dalam apa sahaja bidang, mereka perlu menguasai bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa individu yang berjaya membuktikan bahawa mereka boleh melangkah jauh apabila terlibat dalam budaya bahasa Melayu.

"Budaya bahasa Melayu ada nilai komersialnya. Kita lihatlah pengarah filem, David Teo jadi jutawan dengan menghasilkan filem-filem Melayu dan bukannya filem Inggeris.

"Kita lihat juga penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin berjaya daripada pelbagai aspek disebabkan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama kebanyakan produk makanan di pasar raya menjadi pilihan pengguna kerana menggunakan bahasa Melayu.

"Ini kerana mungkin secara kebetulan apabila Melayu dikaitkan dengan Islam dan ia menjadi pilihan kerana dikaitkan dengan agama. Di situ kita melihat ada nilai ekonominya,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Sallehuddin turut menjadikan kejayaan negara Korea Selatan memasarkan budaya melalui pelbagai media sebagai contoh.

"Kita lihat dramanya, penyanyinya dan makanan menjadi kegilaan satu dunia. Kenapa? Sebab mereka ada perancangan yang sangat jelas.

"Ini yang hendak kita lakukan kepada bahasa Melayu. Kita lihat peluang ada terbukti dengan produk yang ada kaitan budaya seperti filem Upin dan Ipin, Ejen Ali dan Boboiboy,” katanya.

Menurutnya, masyarakat luar mahu melihat seni dan budaya negara dan itulah yang patut diangkat menjadi produk komersial melalui budaya dan bahasa.