Magis ‘doktor’ baiki komputer

Iklan
Suddin Runner bersama kenderaan digunakannya bagi mencari rezeki dengan membaiki laptop dan komputer.

KUALA BERANG - Pekerjaannya mungkin tidak glamour, namun magis sentuhan jemarinya membuatkan Suddin Runner sentiasa 'diburu' pelbagai pihak apabila hadapi masalah kerosakan laptop ataupun komputer.

Masakkan tidak, dengan hanya satu panggilan telefon atau kiriman wassap Suddin Runner bersedia untuk terus ke pejabat serta pintu rumah sesiapa sahaja bagi membaiki kerosakan dialami.

Iklan
Iklan

Usaha dan konsep digunakan Saifuddin Zakaria,35, atau lebih dikenali sebagai Suddin Runner dalam mencari rezeki ternyata berbaloi apabila dia mampu memperolehi pendapatan cecah RM3,000 sebulan.

Berkongsi cerita, bapa tiga anak ini berkata segalanya bermula tiga tahun lalu setelah dia beranikan diri cuba sesuatu yang baharu sebegitu dengan gunakan medium laman sosial sebagai iklan atau promosi.

Iklan

"Sebelum ini saya pernah kerja di kedai komputer lebih kurang 10 tahun. Saya rasa kasihan apabila tahu pelanggan datang dari jauh ke kedai hanya semata-mata untuk baiki laptop, notebook atau komputer mereka.

"Bermula daripada itulah saya pasang impian untuk bantu orang ramai dengan cara sendiri iaitu dengan tawarkan perkhidmatan. Tiada caj ambil atau hantar dikenakan, bayaran cuma bagi kos membaiki.

Iklan

"Berbekalkan pengalaman dan ilmu dipelajari sewaktu di Kolej Risda Kuala Krai saya beranikan diri tiga tahun lalu untuk cari rezeki sepenuh masa sebagai seorang 'runner' baiki laptop, komputer atau notebook.

"Peringkat awal dulu memang rasa putus asa juga pelanggan tiada, namun saya nekad demi keluarga tercinta. Saya ambil masa lebih kurang setahun untuk stabil seperti sekarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Pelanggan meliputi tiga daerah

Kata Saifuddin lagi, pelanggan pertamanya ialah seorang pekerja kilang papan di Ajil dan kini dia bersyukur telah punyai pelanggan tetap di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Terengganu.

"Bagi sampai ke tahap hari ini bukan mudah kerana dulu orang ramai belum tahu tentang perkhidmatan saya tawarkan ini. Kalau adapun orang ingat 'runner' bagi hantar atau ambil barang sahaja.

"Perkhidmatan saya ini kebanyakkannya disebarluas oleh pelanggan sendiri, rata-rata mereka yang syorkan kepada kenalan atau ahli keluarga mereka. Ada yang 'tag' nama saya di laman sosial 'facebook'.

"Sekarang ini, pelanggan terdiri daripada pelbagai pihak termasuk di pejabat kerajaan, golongan pendidik serta suri rumah. Boleh dikatakan, setiap kampung di daerah ini ada pelanggan saya.

Pelanggan Suddin Runner terdiri daripada pelbagai pihak termasuk di pejabat-pejabat.

"Bagi pastikan hubungan dengan pelanggan tidak terhenti setelah barang siap dibaiki, saya akan tanya khabar mereka sama ada secara kiriman wassap atau melalui facebook," ujarnya.

Dua hari tempoh paling lama baiki

Menggunakan slogan 'gi are made, gi are thor' (pergi ambil, pergi hantar), Suddin Runner biasanya akan mengambil masa paling lama selama dua hari bagi baiki kerosakan.

"Kalau kerosakan yang biasa-biasa sahaja saya akan baiki terus di tempat pelanggan, jika agak serius barulah bawa pulang ke rumah untuk 'bedah siasat' yang kalinya bermula jam 10 malam hingga 2 pagi.

Slogan 'gi are made, g are thor' jadi pilihan Suddin Runner dalam berikan perkhidmatan kepada pelanggan.

"Waktu malam saya gunakan untuk baiki kerosakkan barang pelanggan, pada sebelah siang saya gunakan untuk ke tempat pelanggan samaada untuk hantar atau ambil laptop, komputer dan sebagainya

"Sebelum baiki, saya akan maklum apa yang rosak dan kos. Kalau pelanggan setuju barulah saya baikinya, jika tidak setuju saya akan pulangkan kembali dengan tiada sebarang caj dikenakan," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Apit, Ajil.

Ujar Suddin Runner lagi, pelanggan biasanya meningkat menjelang sesi persekolahan tahu baharu bermula dan ketika musim sedemikian dia mampu memperoleh pendapatan cecah RM5,000.

Bercerita tentang ragam pelanggan, suami Asmara Abdullah,35, ini berkata pastinya pelbagai karenah ditemuinya namun dia hadapinya dengan sikap menengah diri.

Kerja membaiki kerosakan atau 'bedah siasat' biasanya bermula jam 10 malam.

"Ada juga situasi dihadapi seperti laptop dihantar masih rosak setelah dibuka kembi hadapan pelanggan walaupun telah siap dan elok diperbaiki. Pendekatan digunakan ialah beri penjelasan kerana barangan elektronik sukar dijangka.

"Pernah juga saya temui ratusan wang tunai dalam beg pelanggan, saya tidak pasti individu ini sengaja mahu uji kejujuran saya atau tidak sedar adanya duit tersebut. Kena marah teruk tiada lagi setakat ini.

"Saya juga suka berkongsi tips berkaitan kepada pelanggan seperti cara penjagaan laptop. Niat utama saya ingin bantu masyarakat kerana itu lah saya tidak kenakan kos hantar atau ambil kepada pelanggan.

"Peralatan seperti 'printer' juga saya ada kemahiran untuk baikinya, begitu juga dengan telefon bimbit tetapi buat masa ini saya hanya fokus kepada komputer, laptop dan berkaitan,"ujarnya.