BAYAN LEPAS -"Ummi tak kuat Chaq. Chaq la nyawa ummi. Chaq la yang ajar ummi macam mana jadi seorang ibu”.
Demikian luah Siti Hajar Ghazali, 38, ibu kepada Muhammad Saifullah Muhammad Hafiez, 16, yang maut dirempuh bas persiaran di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas semalam.
Membahasakan diri anak sulungnya itu sebagai Chaq, Siti Hajar menzahirkan rasa sedih di Facebooknya di atas pemergian anak yang disifatkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab.
"Perginya putera sulung ummi, Muhammad Saifullah kepada Penciptanya. Terima kasih jadi anak yang baik untuk ummi. Jadi sahabat ummi. Walaupun ada masa Chaq tak larat tetap buat apa yang ummi suruh.
"Tidurlah sayang ummi rehat sepuas-puasnya. Tunggu ummi, abah dengan adik dekat sana. Ummi reda dengan ketentuan ALLAH.
"ALLAH pinjamkan Chaq kat ummi sekejap sahaja. 16 tahun lima bulan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, tiga parah dirempuh bas persiaran
Sementara itu, ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas tadi, Siti Hajar berkata, arwah anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum meninggal dunia.
Menurutnya, arwah hanya tidak menjamah bihun sup yang dimasakkan sedangkan ia merupakan makanan kegemarannya.
"Kali terakhir saya berbual dengannya selepas dia pulang dari sekolah dan ingin keluar semula untuk bekerja sebagai pengantar makanan di sebuah restoran makanan segera. Itu lah kali terakhir saya tengok dia," katanya dengan nada sebak.
Bagaimanapun Siti Hajar berkata, dia reda dengan pemergian anaknya itu yang mula bekerja sambilan sejak Ramadan lalu.
"Saya reda dengan pemergiannya. Dia anak yang baik, bertanggungjawab dan tak pernah menyusahkan kami sekeluarga. Dia bekerja pun sebab nak cari wang saku sendiri. Dia beritahu tak mahu susah mak dan abah dia.
Jenazah Muhammad Saifullah telah disembahyangkan di Masjid Bayan Lepas sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas kira-kira jam 11 pagi tadi.
Pemandu bas persiaran positif syabu
Ahli keluarga, rakan-rakan serta saudara telah mengiringi arwah sehingga proses pengebumian selesai yang dijalankan dalam keadaan hujan lebat.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Hafeiz Mubara, 44, berkata, kali terakhir dia berbual dengan arwah anaknya adalah petang semalam sebelum dia keluar bekerja sebagai pembantu operasi di Sekolah Menengah Sungai Ara.
"Itu ja kali terakhir saya sembang arwah. Pada waktu petang, saya dapat tahu dari rakannya bahawa arwah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan luluh hati saya apabila melihat anak saya sudah ditutup dengan kain putih. Ketika itu, saya tahu anak saya sudah tiada," katanya.
Dalam kejadian petang semalam, Muhammad Saifullah yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sungai Ara maut di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah bas persiaran di Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas di sini.