TEMERLOH - Datuk kepada mangsa yang maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Abdul Rahman Yusof, 76, terkilan kerana sudah lama tidak bertemu cucunya itu.
Menurut Abdul Rahman, dia terkejut kerana tiba-tiba diberitahu cucunya sudah meninggal dunia.
Abdul Rahman dari Kampung Paya Mengkuang sebak mengenangkan nasib cucunya, Mohammad Aimin Nurul Amin,7, yang pernah dalam jagaannya ketika masih merangkak.
"Kali terakhir jumpa sebelum raya haji lalu. Saya memang langsung tak tahu dia belajar di situ dan hanya tahu bila dimaklumkan oleh anak petang semalam," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh hari ini.
Menurutnya, anaknya Nurul Amin Abdul Rahman, 36, telah bercerai dengan ibu mangsa yang berketurunan Banjar berada di Sabah dan mangsa adalah anak tunggal pasangan tersebut.
Terdahulu, seorang murid pusat tahfiz di Lanchang di sini dilaporkan maut dipercayai dipukul selepas ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan lebam pada badan di asramanya semalam.
Murid lelaki yang berusia 7 tahun itu ditemui wardennya kira-kira jam 1 tengah hari dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di klinik terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tengkuk, kaki dia sejuk'