KUALA LUMPUR - Terdapat tujuh kekosongan bagi jawatan Ahli Dewan Negara seperti dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Setakat ini seramai 63 individu telah mengisi jawatan tersebut dengan seramai 38 orang daripadanya adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Manakala selebihnya merupakan pilihan negeri di mana setiap negeri dibenarkan memilih dua individu untuk menjadi Senator.
Berdasarkan statistik dalam laman web berkenaan enam kekosongan melibatkan lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala satu kekosongan dari pilihan negeri.
Hanya Melaka belum melengkapkan pilihan mereka sekali gus menyebabkan kuota untuk negeri tersebut masih kurang seorang.
Baru-baru ini khabar angin tersebar mendakwa dua Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Tian Chua bakal mengisi jawatan Senator tidak lama lagi.
Begitupun masih tiada kenyataan rasmi daripada kedua-dua pemimpin PKR itu.
Disember tahun lepas, tular di Facebook dan WhatsApp kononnya Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan Rafizi sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri tersebut.
Pelantikan itu katanya adalah atas cadangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun sehingga kini masih belum ada pengesahan lanjut berkaitan jawatan tersebut.