Ikhlas kepada ALLAH, hikmah besar menanti

Iklan
Setiap ibadah mestilah dilakukan dengan niat dan ikhlas kita kepada ALLAH SWT.

Ibadah akan diterima oleh ALLAH SWT jika disusuli dengan niat ikhlas dan bertepatan dengan sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dua syarat inilah yang menjadi asas kepada sesuatu ibadah itu diterima oleh ALLAH SWT. Ibadah mestilah bersih daripada unsur atau sebab yang selainnya dan perlu mengikut kehendak berdasarkan wahyu yang diturunkan. Keikhlasan itu datangnya dari hati yang bersih dan jujur demi mendapat ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT.

Dalam satu pendapat, manusia disyariatkan beribadah tanpa perlu memikirkan kenapa ibadah itu diperintahkan sedemikian. Ia bertujuan agar ibadah yang dilakukan adalah benar-benar ikhlas kepada ALLAH SWT tanpa mengharapkan sesuatu apa pun.

Iklan
Iklan

Pandangan ini bertujuan, agar sesuatu ibadah itu tidak akan dipersoalkan syariatnya dari sudut akal kerana tiada jawapan yang konkrit dan jelas yang disebutkan dalam mana-mana dalil. Sebagai contoh soalan-soalan seperti, mengapa solat lima waktu tidak tiga atau dua, ataupun persoalan mengapa berpuasa wajib bulan Ramadan tidak disuruh puasa wajib di bulan lain.

Persoalan seperti ini akhirnya akan membawa kepada ketidakrelevanan sesuatu ibadah ini dilaksanakan dan boleh diubah seperti mana yang berlaku kepada umat terdahulu. Sebagai contoh apabila Bani Israel diperintahkan untuk tidak menangkap ikan pada hari Sabtu kerana seruan bersembahyang pada hari tersebut. Mereka mempertikaikan larangan tersebut dari sudut akal mencari hujah menolak perintah tersebut. Akhirnya larangan itu dilanggar dan hari beribadah tersebut ditukar pada hari lain.

Iklan

Ibadah yang sempurna akan diberi ganjaran hikmah dan pahala.

Namun, satu pendapat aliran yang lain pula berpandangan, ibadah yang disyariatkan sepatutnya dilihat sebagai konteks hikmah kerana ia akan memberi impak lebih positif berbanding kita tidak memahami hikmahnya. Bezanya, hikmah yang dicari secara tersirat tidak dibincangkan dalam sudut qat’ie atau perkara tetap yang tidak boleh dibincangkan seperti soalan-soalan yang dikemukakan dalam pendapat aliran pertama tadi. Bagaimanapun, hikmah yang cuba diterokai adalah memandang dari sudut mengapa ibadah itu disyariatkan.

Iklan

Bagi ibadah zakat, perbincangan mengenai hikmah tidak dibincangkan tentang perkara qat’ie atau dasar seperti mengapa 2.5% kadaran zakat, atau mengapa gunakan timbangan emas sebagai penimbang nisab tahunan zakat. Tetapi hikmah itu dibincangkan dari segi syariat zakat dan mengapa perlu berzakat yang mana tujuannya adalah untuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, menghakis sifat kedekut.

Hikmah zakat disebutkan dalam al-Quran iaitu sebagai pembersihan harta dan ALLAH SWT memberi ketenangan kepada si pembayar zakat.

Zakat diwajibkan dengan tujuan dapat memberi manfaat kepada penerima zakat supaya mereka tidak berasa iri hati dan cemburu kepada golongan kaya yang berharta. Perasaan cemburu boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan sesama sendiri sehingga ada yang melakukan jenayah seperti mencuri, merompak dan sebagainya. Ini disebabkan kekangan kewangan yang tidak mencukupi untuk menyara kehidupan seharian mereka.

Melalui ibadah yang ikhlas, ALLAH kurniakan rezeki. Berkongsi rezeki dengan cara berzakat.

Hikmah-hikmah sebegini dibenarkan untuk dicari dalam isu berkaitan ibadah kerana ia mampu memberi motivasi kepada orang yang beribadah, dapat memberi penjelasan logik maksud suatu ibadah itu dilakukan sekali gus memberi jaminan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ilmu-ilmu ini dipanggil sebagai ilmu Maqasid Syariah iaitu ilmu memahami maksud dan sebab sesuatu syariat itu diperintahkan oleh ALLAH. Ianya menjadi satu panduan dan memberi kepuasan fitrah kepada manusia dalam melaksanakan sesuatu ibadah yang diperintahkan.

Melaluinya kita dapat memahami ibadah itu menepati sunnah jika dibuat dan dilaksanakan dengan seikhlas hati. ALLAH SWT telah mengurniakan akal kepada manusia bagi memahami maksud ibadah yang disyariatkan untuk dilaksanakan oleh manusia, sekali gus memberi kefahaman kepada kita berkaitan hikmah di sebalik ibadah itu.

Justeru itu, setiap ibadah yang dilakukan perlulah dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT kerana Dialah yang memberi segala nikmat kebahagiaan dan ketenangan hidup selagi kita menurut perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Bersyukurlah dengan setiap pemberian ALLAH.

Sebarang pertanyaan tentang maklumat berkaitan zakat boleh layari www.izakat.com atau hubungi talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka serta like page facebook Zakat Melaka.

ALLAH SWT berfirman:"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu.” - (QS. Az-Zariyat 51: Ayat 56)

Hikmah di sebalik keikhlasan:

1. Melaksanakan ibadah dengan taat atas perintah ALLAH semata-mata.

2. Membersihkan diri daripada hawa nafsu duniawi, godaan syaitan dan segala unsur penyakit hati seperti riak, sombong dan cintakan harta serta pangkat.

3. Dapat jaminan pertolongan daripada ALLAH SWT.

4. Golongan mukmin terhindar daripada perkara-perkara negatif malah ALLAH SWT mengurniakan ketenangan dan ketenteraman hatinya.

5. Mendapat perlindungan di hari kiamat.

6. Dapat pengampunan dosa yang dilakukan dan merupakan jalan menuju ke syurga.

7. Doanya akan dikabulkan kerana mengharapkan kebaikan daripada ALLAH SWT sesuai dengan niatnya yang baik.

Hubungi Zakat Melaka untuk sebarang bentuk maklumat dan pertanyaan berkaitan zakat.