GEORGETOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan terus melihat potensi baharu dalam pembangunan wakaf di negeri ini termasuk menggunakan konsep wakaf Al-Isthismar dan Ardhul Mawat seperti yang dilaksanakan di selatan Thailand.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, wakaf Al-Isthismar adalah wakaf pelaburan manakala wakaf Ardhul Mawat pula wakaf menghidupkan tanah yang terbengkalai atau tidak diusahakan.
"Usaha pembangunan wakaf ini juga akan terus dioptimumkan dengan menggunakan teknologi terkini seperti 'blockchain' yang membolehkan sebuah lejar digital mengandungi urus niaga dikongsi dan diedarkan tanpa penggantungan terhadap badan pusat.
"Insya-ALLAH dengan bantuan semua pihak termasuk pakar dan ahli akademik akan mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai Hab Wakaf Antarabangsa," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata, MAINPP sebagai pemegang amanah bagi harta wakaf di Pulau Pinang telah menubuhkan Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan harta wakaf sama ada harta alih atau harta tidak alih selain menjalankan pelaburan, penyelidikan dan penguatkuasaan terhadap harta yang diserahkan oleh MAINPP.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri berkata Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd turut bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja promosi bagi mengumpul dan menambah dana wakaf tunai MAINPP serta lain-lain bentuk wakaf.
Beliau berkata, pembangunan wakaf di negeri ini sedang rancak dilaksanakan dan ia terbukti menerusi beberapa projek ikonik wakaf seperti pembangunan Wakaf Seetee Aisah dan Wakaf Mohamed Hashim di Seberang Jaya yang dilihat memberi impak positif kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang.
"Pembangunan wakaf ini juga tidak akan sama sekali mengetepikan golongan kurang berkemampuan. Sebagai contoh, MAINPP juga akan membangunkan projek di atas Lot 1396 & 1606 (Wakaf Sheikh Eusoff), Jalan Air Itam daerah Timur Laut bernilai RM150 juta.
"Sebuah lagi projek pembangunan wakaf untuk membantu umat Islam daripada kelompok B40 adalah perumahan kos sederhana rendah di atas Lot PT 32 di George Town. Projek ini adalah projek pembangunan perumahan sebanyak 114 unit rumah sederhana rendah di bandar raya George Town," tambahnya.
Sementara itu, mengulas cadangan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) supaya program Kelas Fardu Ain (KAFA) diwajibkan di setiap sekolah, Ahmad Zakiyuddin berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) amat mengalu-alukan cadangan itu dan bersedia untuk melaksanakan program KAFA di semua sekolah rendah.
"Pihak JHEAIPP bersedia untuk menghantar guru jika ada permohonan. Bagaimanapun, pelaksanaan cadangan tersebut tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri," katanya. - Bernama