46,873 unit rumah mampu milik swasta bakal dibina

Iklan
Zuraida melawat reruai pameran jualan perumahan pada majlis Pra Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Swasta di Putrajaya, hari ini. FOTO:ZAHID IZZANI

PUTRAJAYA- Sebanyak 46,873 unit rumah mampu milik swasta akan dibina di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, rumah berkenaan dijangka dibina pada awal tahun hadapan dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Iklan
Iklan

"Sekiranya pemaju menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS), rumah tersebut dijangka lebih cepat disiapkan kira-kira dalam tempoh setahun setengah," katanya.

Menurutnya, rumah tersebut akan dibina oleh 12 pemaju perumahan termasuk Menteri Besar Incorporated (MBI) milik kerajaan Selangor di tanah milik syarikat berkenaan.

Iklan

"Walaupun pembinaannya di atas tanah persendirian tetapi lokasinya perlu strategik termasuk berdekatan sekolah dan bandar. Jika tidak, kementerian tidak membenarkan pembinaannya," katanya.

Beliau berkata, rumah berkenaan dijual pada harga bawah RM300,000 mengikut lokasi.

Iklan
Zuraida menyampaikan surat kerjasama pemaju Swasta dan KPKT pada majlis Pra Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Swasta di Putrajaya, hari ini. FOTO:ZAHID IZZANI

"Paling tinggi setakat ini adalah sekitar RM290,000," katanya pada sidang media Pra Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Swasta di sini hari ini.

Zuraida turut mengingatkan pemaju supaya membina rumah mengikut spesifikasi yang ditetapkan Dasar Perumahan Negara.

"Selain itu perlu juga disediakan kemudahan seperti dewan serbaguna, surau, taman permainan dan kolam renang ke arah memberdayakan komuniti," katanya.

Antara lokasi bagi pembangunan rumah mampu milik swasta adalah sekitar Lembah Klang, Alor Gajah, Tuaran, Kijal dan Tawau.

Kesemua rumah milik swasta mengekalkan keluasan minimum 900 kaki persegi.