Hadi ingatkan Tun M pilih calon pengganti paling layak

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dapat membuat pilihan calon paling layak bagi menggantikan tempatnya.

Beliau berkata, sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam pemerintahan negara, Dr Mahathir sudah pasti mengenali pengganti yang sesuai bagi meneruskan tampuk pemerintahan di negara ini.

Iklan
Iklan

"Pas tetap menjadi pembangkang yang menasihat dan memberi perhatian kepada calon bakal Perdana Menteri.

"Mahathir sebagai Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman memerintah pastinya sangat mengenali calon yang layak dalam kalangan muridnya yang telah dilatih.

Iklan

"Maka hendaklah dipilih yang berjaya dalam ujian. Jangan memilih calon gagal membawa ijazah palsu atau suka meniru untuk mendapatkan jawapan,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir mengulangi komitmennya untuk meletakkan jawatan sebelum tamat penggal lima tahun sambil menegaskan tidak akan mengulangi kesilapan melantik pengganti.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu turut memuji kebijaksanaan Mahathir menyelesaikan krisis ekonomi 1997 dengan menggunakan sumber dalam negara dan kepakaran sendiri.

Beliau berkata, tindakan itu sesuatu yang sangat membanggakan kerana Dr Mahathir tidak bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang boleh mengundang penjajahan ekonomi, belenggu hutang dan campur tangan asing dalam negara.

"Walaupun Pas parti pembangkang dibelasah sehingga berlawan dengan sekeras-kerasnya tetapi menyedari bahawa kita berada dalam satu tanah air laksana satu bahtera yang tenggelam timbulnya tetap bersama, maka tetap mengakui apa yang sebenar dipikul bersama.

"Pas ketika itu turut memberikan pandangan untuk membaiki ekonomi negara, dengan menyeru peniaga dan rakyat untuk terus bertahan, berbelanja dengan cermat, mengurangkan hutang dan menyimpan untuk kecemasan.

"Begitu mahalnya erti sebuah kemerdekaan dan maruah, bukannya menjadi barua kepada sesiapa sahaja kerana mempertahankan maruah adalah sangat besar maknanya.

"Pengalaman Malaysia menangani krisis kewangan 1997 adalah ujian untuk menilai siapa yang berani mempertahankan maruah negara dan umat, berbanding mereka yang mudah menyerah kalah kepada pihak luar,” katanya.

Menurut perjanjian dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH), Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipersetujui akan menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri walaupun tarikhnya tidak ditetapkan.