Kerajaan belanja RM3.3 juta bantu orang asli suku Batek: TPM

Iklan
Wan Ahmad Uzir (duduk tiga dari kiri) bergambar kenangan selepas merasmikan Majlis Kick-off #ANAKMALAYSIATINGGI Peringkat Kebangsaan hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM3.3 juta bagi membantu masyarakat orang asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini.

Jumlah itu termasuklah pembinaan Sistem Bekalan Elektrik Talian Grid berjumlah RM2 juta oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), sistem rawatan air berkualiti tinggi bernilai RM800,000 dan RM434,000 untuk menampung pelbagai keperluan termasuk bekalan makanan mengikut syor Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan.

Iklan
Iklan

"Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga sedang menyediakan penanaman kontan bagi sayur terung dan labu sebagai sumber makanan dan punca pendapatan tambahan kepada 53 ketua isi rumah.

"Di samping itu Jakoa telah melatih anak tempatan sebagai tenaga kerja untuk Sekolah Komuniti dan merancang menyediakan kelas jahitan untuk ibu selain Kerajaan Persekutuan dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas)," katanya pada Perasmian Kick-Off #ANAKMALAYSIATINGGI di sini hari ini.

Iklan

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Dr Juli Edo dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Iklan

Wan Azizah berkata, kerajaan sedang melaksanakan Program Community Feeding bagi membantu meningkatkan taraf pemakanan kanak-kanak daripada komuniti orang asli.

"Saya menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan serta agensi lain yang berkaitan seperti Jakoa, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta individu dalam memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

"Kita harus optimis, berusaha dan sentiasa berdoa agar masalah anak bantut tidak menjadi isu nasional yang lebih serius kepada Malaysia," katanya.

Pada majlis itu Wan Ahmad Uzir turut menyampaikan pemberian wang ihsan RM500 hingga RM5,000 kepada 68 ketua isi rumah masyarakat orang asli suku Batek dari Kuala Koh susulan tragedi kematian 15 orang daripada masyarakat itu akibat jangkitan demam campak baru-baru ini. - Bernama