RANTAU PANJANG -"Ingatkan buaya, rupa-rupanya patin buah gergasi," kata kaki pancing Azahar Che Hassan, 42, yang berkongsi detik cemas menaikkan ikan patin buah seberat 150 kilogram.
Azahar bersama tiga rakannya berjaya menaikkan patin buah gergasi itu di Sungai Tok Damat, Kampung Jejawi di sini kira-kira jam 10 pagi hari ini.
Menurutnya, ikan patin buah itu ditangkap menggunakan kaedah candit.
"Pada mulanya kami menyangkakan ikan berkenaan adalah buaya.
"Takutlah juga kerana sungai ini merupakan 'rumah' pak bedal tapi selepas menarik candit kami mendapati ia ikan patin buah," katanya.
Azahar berkata, ini kali pertama dia dan rakan-rakan mendapat ikan besar walaupun sudah beberapa tahun berpengalaman menahan candit.
Katanya, dia menahan candit di sungai itu selepas air mulai naik ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
"Ikan ini akan dikongsi bersama penduduk kampung.
"Saya turut menjualnya selepas ada permintaan untuk membeli kerana mahu menikmati rasa ikan tersebut," katanya.
Kisah kejayaan Azahar dan rakan-rakannya itu tular di media sosial apabila penduduk kampung berkongsi mengenai perkara tersebut.