'Saya tak malu kongsi sukar dapat anak'

Iklan
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memeluk anak-anak Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada Majlis Pelancaran Alpha IVF & Women’s Specialist di Kota Damansara hari ini. - Foto Bernama

PETALING JAYA -"Saya tidak malu untuk memberitahu atau berkongsi dengan dunia semua masalah dan kesukaran yang perlu saya lalui untuk mendapat anak."

Itulah kata-kata Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika bertitah pada majlis perasmian pusat fertiliti, Alpha IVF and Women's Specialists di Encorp Strand Mall di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Tunku Azizah bertitah, semua kesukaran yang dialami membuatkan baginda memahami perasaan wanita atau pasangan lain apabila mereka tidak dapat memiliki anak sendiri dan itulah yang menjadi pendorong untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

"Saya tahu bagaimana rasanya apabila tidak mempunyai anak, stigma yang kita ada mengenai wanita sentiasa dipersalahkan (untuk keadaan itu), tetapi ia sebenarnya adalah persamaan jantina," titah baginda.

Iklan

Semasa menzahirkan kesyukuran doanya dimakbulkan, Tunku Azizah juga berterima kasih kepada pasukan perubatan dan para doktor atas usaha mereka dalam memperkenalkan teknologi berkenaan.

Turut hadir, Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah Al-Sultan Abdullah serta Pengasas dan Pengarah Urusan Alpha IVF and Women's Specialists, Datuk Dr Colin Lee dan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Iklan

Majlis itu juga menyaksikan pusat fertiliti itu memberi penajaan 15 rawatan IVF kepada TAFF.

Sementara itu, pada sidang akhbar Dr Lee berkata, pusat berkenaan menyediakan program Smart IVF untuk membantu pasangan dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang menghadapi masalah untuk hamil.

"Kos program bermula dari RM13,888. Ini adalah bentuk IVF yang dipermudah yang efektif dan mempunyai kadar kehamilan kira-kira 50 peratus bagi mereka yang berumur di bawah 35 tahun. Mereka juga boleh mendapatkan bantuan daripada TAFF," jelasnya.

Dr Lee berkata, semakin moden masyarakat hari ini semakin tinggi risiko ketidaksuburan dan kesukaran untuk mereka hamil.

Dalam banyak kes, beliau berkata wanita di kawasan bandar kebanyakannya berkahwin selepas mencapai umur 35 tahun dan mempunyai masalah kesuburan kerana gaya hidup moden. - Bernama