Penduduk risau rumah hanyut

Iklan
Fadhiah menunjukkan tebing sungai yang semakin menghakis

ARAU - Kira-kira 20 keluarga yang menghuni kawasan berhampiran tebing sungai yang menghubungkan Sungai Arau di Padang Siding terdedah bahaya akibat hakisan sejak tujuh tahun lalu.

Penduduk Kampung Kuala Tunggang, Fadhiah Hassan, 64, mendakwa, hakisan terbabit kini semakin serius dan bimbang dengan keadaan rumahnya yang terletak kira-kira 30 meter daripada sungai berkenaan.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan sebahagian reban ayam miliknya sudah hanyut akibat hakisan dan semakin membimbangkan kira-kira 5 meter kawasan tanah miliknya sudah terhakis dan hanyut ke sungai.

"Bukan di kawasan saya saja yang terjejas malah rumah di kampung lain turut mengalami kesan yang sama seperti di Kampung Padang Ringan dan Kampung Rambai.

Iklan

"Kami bimbang hakisan semakin serius kerana boleh dikatakan hujan setiap hari," katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Justeru, Fadhiah berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Iklan

"Sebelum ini ada pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis datang meninjau keadaan tebing bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan ini.

"Mereka turut mengakui berlaku hakisan tanah dan akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, ADUN Pauh, Rozieana Ahmad berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan sudah melakukan tinjauan.

"Tinjauan pada bulan lalu mendapati berlaku gelongsoran tanah berdekatan beberapa kediaman penduduk di sekitar Padang Siding.

"Perkara ini juga sudah disampaikan kepada Menteri Besar Perlis (Datuk Seri Azlan Man) dan beliau sendiri sudah meminta pegawai JPS menilai anggaran kos membaik pulih walaupun kerajaan negeri ketika ini mengalami kekangan kewangan," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini JPS sudah membina dinding gabion di beberapa kawasan di sepanjang sungai terbabit yang dilihat berisiko tinggi berlaku kejadian hakisan tanah.

Bagaimanapun katanya, akibat struktur tanah yang lembut menyebabkan beberapa dinding turut tenggelam dan pihaknya berjanji akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan bersama agensi berkaitan.