SHAH ALAM - Video yang memaparkan siaran langsung Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menimbulkan kelucuan warganet apabila seorang graduan terjatuh ketika sedang menuruni tangga dewan.
Perkongsian yang dimuat naik oleh @kapucinosatu di Twiternya juga menunjukkan graduan yang dikenali sebagai Arif Hakimi dibantu rakan-rakan yang lain selepas terjatuh.
Menerusi hantarannya, @kapucinosatu menulis,"Weh, tengoklah kawan aku semua!!!...Hahaha, jatuh semasa siaran langsung konvo semalam. Aku ulang-ulang tengok bhai, sumpah kelakar."
Video berkenaan sudah mendapat keizinan daripada Arif untuk dikongsi rakannya kerana pemuda tersebut menerusi akaun Twitternya, @ArifHakimi1998 turut menceritakan kejadian lucu itu.
Arif juga mengakui terhibur dengan kejadian tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada warganet yang menonton video tersebut.
"Terima kasih kepada semua yang terhibur dengan video aku ini. Serius aku pun terhibur gila tengok aku secara siaran langsung jatuh tangga tu weh," katanya.
Video berdurasi 7 saat itu yang dimuat naik kelmarin kini tular di media sosial dengan 391,600 tontonan dan 28,500 ulang kicau.
Bagaimanapun, ada di antara netizen sedih melihat graduan tersebut terjatuh kerana pasti mengalami kesakitan.
"Kenapa aku tengok video ini aku rasa comel dan kelakar. Aku sebenarnya kesian juga tengok dia terjatuh tapi video ini buat aku gelak pula. Apa pun tahniah semua dah konvo," tulis Rahmanabu76 di Twitter.
Dauddam pula memberitahu,"Kesian aku tengok si Arif ini jatuh sebab sakit ohh jatuh tangga tapi tidak mengapa kawan-kawan ramai ada di situ telah membantunya. Tahniah Arif dan rakan-rakan kerana sudah konvo."