IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri Sambutan Maulidur Rasul peringkat Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.
Pada sambutan itu Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah masjid bagi kategori siak, bilal dan imam.
Penerima anugerah siak dianugerahkan kepada Zainal Ibrahim, 74, dari Kampung Relang, Batu Kurau; bilal Masjid Al-Ahmadiah, Kampung Kenayat, Gerik, Abdul Mutalib Said, 80, bagi kategori bilal dan kategori imam dianugerahkan kepada Imam Masjid Al Furqan, Taman Pengkalan Jaya Ipoh, Mohamed Amran Ngah Abdul Ghani.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Pendakwah kepada Arifin Long Chor dari Pos Piah, Sungai Siput.
Arifin yang aktif menyemarakkan usaha dakwah kalangan orang asli sejak seawal usia 30-an lagi berjaya mengislamkan lebih 200 keluarga dari empat kampung di Sungai Siput (U).
Masing-masing dikurniakan RM3,000 dan sijil penghargaan.
Tahun ini, Anugerah Keluarga Mithali dianugerahkan kepada bekas tentera, Ahmad Shahabuddin Abd Rashid dari Kampung Kuala Slim, Slim River.
Ketegasan bapa kepada sembilan cahaya mata itu dalam menitikberatkan agama dan pendidikan berjaya membesarkan anak-anak hingga menempa nama antaranya sebagai pensyarah, jurutera, pegawai bank dan pakar psikiatri.
Keluarga bestari ini dikurniakan RM5,000 dan sijil penghargaan.
Sambutan dihadiri lebih 2,000 itu turut dimeriahkan dengan berzanji dan qasidah serta berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.