FITRAH manusia biasa mahu kehidupan yang senang dan serba lengkap. Malah, ada yang berhajat untuk hidup dalam keadaan sentiasa mewah.
Namun perkongsian satu rakaman video oleh pencetus Ummah (PU) Amin membuatkan warganet menangis apabila melihat kebahagiaan sebuah keluarga meskipun mereka berada dalam serba kekurangan.
Amin, 29, atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim menyedari kehidupan ini hanya sementara dan sering kali leka, tidak mensyukuri atas nikmat daripada-Nya.
"Kita selalu mengeluh, kita kata kita susah, kita kata hidup kita payah, kita suka banding kejayaan orang lain dengan apa yang kita ada.
"Hingga satu waktu kita tertekan dalam hidup kerana rasa macam gagal yang teramat sangat sedangkan kita memiliki sedikit dari nikmat cuma jarang kita bersyukur...," tulisnya di Instagram.
Katanya, turut mengalir air mata tatkala melihat keluarga itu menaiki motosikal tiga roda bersama isteri dan anak-anak sedangkan manusia pada zaman kini megah memaparkan gambar kereta, rumah dan harta benda.
"Mengalir air mata melihat keluarga ini. Ketika sedang seronok kita paparkan gambar kereta, rumah dan harta kita apa pula perasaan mereka.
"Itulah kehidupan muncul dari kesetiaan dan cinta yang datang dari sifat cukup dan syukur," katanya.
Dalam pada itu, Amin juga menyanjungi si bapa kerana tanpa kenal erti penat lelah mencari rezeki halal untuk diberikan kepada keluarganya dan ia satu nikmat yang paling disyukuri.
"Saya yakin si ayah berusaha siang dan malam mencari rezeki halal untuk diberikan pada ahli keluarganya. Nikmat usaha itu lebih besar dari wang ringgit berkepok...," katanya.
Beliau juga turut mendoakan agar keluarga itu dilimpahi rezeki dan berharap jasa ibu ayah dibalas oleh anak-anaknya kelak yang pasti syurga menanti.
Perkongsian itu nyata menyentuh hati netizen yang menyifatkan ia satu pengajaran yang cukup besar buat masyarakat pada masa kini.
"Ya betul...saya kalau selisih dengan mereka macam ini terus timbul rasa syukur dengan rezeki ALLAH beri kepada keluarga saya. Terus timbul rasa sayu tengok keluarga ini," tulis im_hunney.
Kata yus_neeta,"Mereka begitu bahagia walaupun serba kekurangan...Subhanallah...Kebahagiaan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit berjuta."