BEAUFORT - Banjir seperti sudah sebati dengan penduduk di beberapa kampung di daerah kecil Membakut dekat sini kerana setiap kali musim hujan kampung mereka akan dinaiki air.
Mangsa banjir di kawasan berkenaan bukan saja menanggung kerugian ribuan ringgit ekoran banyak barangan rosak akibat banjir yang melanda rumah mereka malah sering gusar setiap kali hujan lebat melanda kampung mereka.
Seorang mangsa banjir, Rosninah Abdul Samad, 29, dari Kampung Baitam berkata setiap tahun rumahnya akan dinaiki banjir dan pada tahun ini sahaja rumahnya telah dua kali dilanda banjir selepas Mei lepas.
"Kita sudah bersedia untuk menghadapi banjir dengan meletakkan barangan seperti dokumen penting di tempat yang selamat namun ada beberapa barangan lain yang tidak sempat di selamatkan seperti barangan elektrik, peti ais dan tilam.
"Setiap kali banjir kami sekeluarga akan mengalami kerugian ribuan ringgit dan kali ini saya tidak pasti apa sahaja barangan yang rosak dan ia hanya dapat diketahui apabila kami dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon dekat sini hari ini.
Rosninah berkata, beliau berpindah ke PPS berkenaan sejak pagi semalam apabila rumahnya mula dinaiki air kira-kira jam 5.40 pagi.
"Kali ini air naik dengan cepat dan saya terus menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan dan sebaik bomba tiba air sudah naik di paras lutut dan saya difahamkan air naik sehingga dua meter ekoran hujan yang kerap berlaku sejak semalam,” kata ibu kepada lima orang anak itu.
Rahimah Mohd Noor, 55, berkata, beliau sekeluarga kerugian lebih RM5,000 selepas pelbagai barangan elektrik dan rumah rosak, akibat banjir kilat yang melanda rumahnya dua kali dalam tempoh seminggu sejak Selasa lepas.
Manakala Samilin Malibin,45, dari Kampung Kayai berkata, sudah menjadi lumrah kampung berkenaan dilanda banjir setiap kali hujan lebat.
"Walaupun rumah dibina dengan tiang yang tinggi namun kita masih mengalami kerugian akibat tanaman rosak dan haiwan ternakan seperti ayam hilang dihanyutkan banjir. Tahun ini sudah tiga kali rumah saya dinaiki air selepas Mei dan Januari lepas.
"Saya sudah menjadi serik seringkali dilanda banjir namun saya tidak mampu berbuat apa-apa...saya merancang untuk berpindah ke kawasan lain namun masanya belum tiba,” kata ibu tunggal kepada tiga orang anak itu.
Beliau turut berterima kasih kepada agensi yang terlibat dalam operasi memindahkan mangsa banjir ke PPS.
"Agensi yang terlibat menjalankan tugas dengan cepat dan sebagai seorang yang sering kali menghadapi situasi banjir seperti ini kami sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh agensi yang terlibat,” katanya.
Sementara itu Pegawai Daerah Beaufort Jupery Etok yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkenaan berkata, sehingga jam 2 petang tadi 97 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Selagon.
"Kesemua mangsa adalah dari 12 kampung yang terjejas iaitu Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baru, Kayai, Lampuas, Sindok, Siniko, Laut, Jambatan Baru dan Kampung Kayai,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keadaan banjir di beberapa kawasan semakin surut namun mangsa belum dibenarkan pulang disebabkan keadaan cuaca mendung dan hujan di beberapa kawasan.
"Kita akan benarkan mereka balik apabila keadaan banjir pulih sepenuhnya,” katanya. -Bernama