SHAH ALAM - Dua penumpang maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka dihempap sebuah lori muatan pasir di susur keluar Lebuhraya Shah Alam Exspressway (Kesas) pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.04 pagi.
"Sebuah jentera dengan kekuatan seramai lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kemalangan itu berlaku selepas sebuah lori 24 tan yang membawa muatan pasir terbabas dan terbalik sebelum menghempap kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita bersama dua penumpang," katanya.
Katanya, kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan masing-masing dan dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.
"Pemandu lori mengalami cedera ringan manakala pemandu kereta Produa Myvi cedera parah. Mereka kemudiannya dihantar ke Hospital PPUM ( Pusat Perubatan Universiti Malaya) untuk rawatan lanjut.
"Dua penumpang kereta Produa Myvi yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis," katanya.