KUALA LUMPUR - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk konglomerat petroleum, Petronas, digesa supaya menyediakan latihan intensif tambahan untuk siswazah baharu daripada kumpulan B40 bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini akan dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah baharu di Malaysia termasuk bagi mereka yang lemah dalam bahasa Inggeris.
"Setelah tamat pengajian, 60 peratus siswazah baharu akan terus menganggur.
"GLC termasuk Petronas perlu memulakan inisiatif baharu untuk siswazah miskin, jika mereka tidak memahami teknologi digital, beri mereka latihan intensif, demi kebaikan mereka beri mereka latihan tambahan dari 8 pagi hingga 10 malam," katanya semasa berucap pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2019 di sini hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, GLC dan Petronas boleh memilih yang terbaik dalam kalangan siswazah baharu B40 untuk menyediakan latihan bagi meningkatkan kecekapan bahasa Inggeris mereka.
"Saya kagum dengan sekumpulan pelajar China di Oxford yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan saya diberitahu bahawa mereka diberi kursus intensif bahasa Inggeris selama setahun setelah tamat pengajian di Shanghai untuk memenuhi syarat untuk ke universiti itu.
"Ini suatu yang hebat, mungkin kita boleh memberi mereka (siswazah baharu) beberapa tahun latihan asas kerana kita mempunyai keupayaan...inilah yang mesti dikemukakan dan diminta oleh belia," katanya.
Dianjurkan oleh Persatuan Alumni Perdana Fellows (PFAA), forum bertemakan 'Ripples: Youth in the Driver's Seat', turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq dalam ucapannya berkata, golongan belia perlu diberi lebih banyak peluang untuk mengetuai setiap agensi, jabatan dan syarikat di negara ini.
"Saya percaya golongan muda hari ini boleh melakukan dengan baik apabila mereka diberi peluang untuk memimpin dan apabila anda (belia) diberi peluang, pastikan anda menterjemahkannya ke dalam dasar, minda serta orang-orang di sekeliling anda.
"Paling penting adalah untuk turut membawa bersama ramai anak muda lain bagi memperkasa mereka untuk memastikan bahawa apabila anda tidak lagi di sana, akan ada 10 atau beribu-ribu orang muda yang diberi peluang yang sama atau lebih baik," katanya. - Bernama