Siasat terperinci, kata MB Pahang

Iklan
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN - Kerajaan Pahang mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dilaporkan mempunyai kesan-kesan lebam pada tubuh badannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pesalah yang memperlakukan perbuatan itu perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Sungguh pun sekolah tahfiz tersebut ada 14 pelajar dan seorang sahaja guru dan tidak berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) serta beroperasi secara tidak sah sejak Januari lalu tetapi kematian melibatkan seorang muridnya telah berlaku.

"Sudah tentu kerajaan negeri memandang serius mengenainya maka meminta pihak-pihak berwajib melakukan apa juga usaha agar kebenaran dapat diperolehi dan pesalah dibawa ke muka pengadilan, insya-ALLAH," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya sebentar tadi.

Muhammad Aimin disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kesihatan Lanchang kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama.

Terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa dipercayai dipukul.

Akibat kejadian itu, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz terbabit termasuk abang tiri mangsa ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan takziah takziah kepada keluarga Muhammad Aimin.