MCA persoal PH beri kad sim percuma

Iklan
Ka Siong (kiri) bersama Jeck Seng pada sidang akhbar di Bilik Gerakan MCA Pontian hari ini.

PONTIAN - MCA mempertikaikan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang memberikan kad sim prabayar secara percuma kepada orang ramai pada sesi ceramah umum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Tenggayun di sini.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, menerusi paparan klip video, perbuatan berkenaan dilihat dilakukan secara terang-terangan biarpun ia turut dihadiri pihak pemerhati serta anggota polis.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya, klip video berkenaan turut mendedahkan lokasi ceramah selain beberapa pemimpin tertinggi PH yang hadir antaranya Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon PH untuk PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

"Ini juga bukan construction site (tapak binaan). Bukan bangla. Ini bukti sahih. Semua kad sim perlu didaftarkan. Kita pun tak sebodoh itu.

Iklan

"Apa muslihat untuk dapatkan nombor kad pengenalan semua orang? Kemungkinan juga bila dah tahu siapa daftar, apa kata hari ini saya tambah RM200, RM300, bukankah itu sogokan? Mungkin juga ketirisan.

"Saya minta jasa baik pemantau SPR, dari sanubari kita, apa perasaan kita? Apakah ini adil kepada kita semua?

Iklan

"Apa perasaan kita kalau perkara itu berlaku? Apakah ia adil kepada enam calon yang bertanding. Adakah ini kelebihan yang ada pada kerajaan yang memerintah? Adakah ini satu penindasan terhadap calon yang bertanding?” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan MCA Pontian hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Wee Jeck Seng.

Ka Siong berkata, MCA akan terus memantau dan mengumpulkan bukti serta melaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tindakan PH itu.

Sementara itu, Ka Siong merayu kepada Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) yang selama ini memperjuangkan kempen pilihan raya yang sihat untuk mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, Bersih juga perlu bersemangat dalam memperjuangkan soal berkenaan.

"Dahulu, Bersih kata, mereka tidak berpuas hati. Mereka itu bersemangat. Harap penubuhan Bersih itu dapat kita kembalikan dengan lebih bermaya,” katanya.