PENYANDANG juara, Manchester City diyakini mampu membawa pulang keputusan positif dari Anfield apabila berkunjung ke Liverpool bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.
Penyerang The Citizens, Kevin de Bruyne percaya skuad kendalian Pep Guardiola berupaya menyaingi pendahulu liga berkenaan biarpun akan tampil tanpa beberapa tonggak seperti Rodri, David Silva dan Aymeric Laporte yang masih belum pulih kecederaan.
Iklan
Iklan
"Manchester City masih mampu menurunkan barisan pemain-pemain yang berkualiti biarpun tanpa beberapa tonggak utama yang masih dibelenggu kecederaan.
"Kami tahu rekod Manchester City ketika beraksi di Anfield tidak beberapa baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun dengan kehadiran penonton yang mahu menyaksikan perlawanan berprofil tinggi kami yakin mampu menyajikan aksi terbaik lagi berkualiti
"Sebagai pemain pula kami tidak terkesan dengan rekod buruk Manchester City ketika bertandang di Anfield sebaliknya kami lebih tenang semasa sesi latihan bagi mempersiapkan pasukan dan tidak sabar menterjemahkan segala tindakan dalam bentuk keputusan,” katanya.
The Citizens yang ketinggalan enam mata berbanding The Reds berpeluang merapatkan kedudukan seandainya melakar kemenangan pada aksi ke-12 liga berkenaan.
Menurut tonggak Belgium itu lagi, menjadi impian semua pemain bola sepak profesional beraksi di Anfield menentang tuan rumah yang terkenal dengan tradisi kejuaraan liga Inggeris berkenaan.