Jangan samakan hem dengan ketum

Iklan
Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan membenarkan penanaman hem iaitu tumbuhan dari spesies ganja bagi tujuan penyelidikan.

ALOR SETAR - Orang ramai diingatkan agar tidak menyamakan hem dengan ketum kerana ia dua entiti berbeza.

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, salah faham berhubung dua tumbuhan herba itu yang dikategorikan bawah akta berbeza boleh mengelirukan sekiranya tidak mendapat fakta tepat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketum tertakluk pada Akta Racun 1952 manakala hem bawah kategori Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dr Ismail turut membidas saranan Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mahu kerajaan membenarkan penanaman ketum sekiranya bercadang memberi keizinan untuk penanaman hem.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan benar penanaman hem

Kerajaan perlu juga benarkan tanam ketum, kata MP

Iklan

Zahidi berkata, ketum bukan hanya memiliki nilai perubatan malah dapat membantu meningkatkan taraf penduduk kerana permintaan tinggi dari luar negeri.

Dr Ismail berkata, sekiranya penanaman ketum dibenarkan akan mendatangkan lebih kemudaratan memandangkan lebih mudah disalah guna pihak tertentu.

"Penyalahgunaan ketum berleluasa, macam mana nak kawal jika diberi kebenaran tanam. Dalam keadaan kita tidak menggalakkan tanaman ketum, situasi meruncing apatah lagi jika diberi kebenaran orang ramai tanam sebagai komersil,” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu, pada 2015 dilakukan pindaan akta agar dikenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan bukan sahaja peringkat pemprosesan tetapi termasuk peringkat tanaman bagi menangani isu ketum.

"Lainlah kalau nak tebang pokok ketum dan tanam berpagar seperti hem, saya sokong tetapi perlu dimasukkan bawah akta sama,” katanya.

Dr Ismail berkata, hem digunakan sebagai bahan industri kerana kandungan seratnya yang digunakan antaranya dalam industri kertas, tali, kain, bahagian automotif serta perubatan.

"Berbeza dengan ketum yang memiliki mitragynine, jika disalahguna dan diproses ia menjadi kesalahan. Bawah Akta Racun, tanam ketum tak salah walau dibuat ladang sekalipun,” katanya.

Sehubungan itu, Kedah akan meneliti aspek penanaman ketum bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) memandangkan belum ada akta seumpama yang membolehkan ladang ketum dimusnahkan.

"Belum ada akta, pelaksanaan belum boleh buat. Kita hanya boleh nasihat untuk musnahkan ladang ketum, cuma aspek penguatkuasaan belum ada. Kita akan teliti aspek ini dengan PTG kerana Majlis Fatwa Negeri Kedah sudah tetapkan ketum termasuk bawah perkara memabukkan dan haram,” katanya.

Katanya, pihaknya yakin saranan Kementerian Kesihatan untuk membenarkan penanaman hem bagi tujuan penyelidikan industri akan dipantau dengan ketat kerana ia bukan untuk tujuan komersil.