BHOPAL- Seorang pemandu tuk-tuk, kenderaan roda tiga di India dan penumpangnya dihukum melakukan ketuk ketampi oleh petugas majlis perbandaran selepas ditangkap membuang air kecil di tempat terbuka.
Kedua-dua lelaki terbabit melakukan perbuatan itu di bahu jalan Indore, Madhya Pradesh.
Mereka turut dikenakan denda 250 Rupee (kira-kira RM15).
Kencing merata-rata adalah satu kesalahan di Indore.
Pada 2015, seramai 109 individu ditangkap di Agra, Uttar Pradesh kerana kencing di tempat awam.
Mereka yang ditangkap bukan sahaja ditahan selama hampir 24 jam di balai polis tempatan, malah turut didenda sehingga 500 Rupee (kira-kira RM30).
Kebanyakan mereka ditangkap ketika membuang air kecil di atas platform dan landasan kereta api.
Perdana Menteri, Narendra Modi telah melancarkan kempen Swachh Bharat (India Bersih) pada 2014 untuk mempromosi kempen kebersihan dan berjanji akan membina jutaan tandas merentasi negara itu.
Namun, kempen itu dilihat gagal menyedarkan penduduk negara berkenaan yang lebih selesa memilih berak dan kencing di kawasan terbuka, - Agensi