Peniaga, pekerja kilang mangsa iklan pinjaman wang tidak wujud

Iklan
Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN - Peniaga dan pekerja kilang masing-masing kerugian RM3,600 dan RM2,530 selepas terpedaya dengan iklan pinjaman wang tidak wujud dipercayai didalangi individu sama berdasarkan akaun bank yang digunakan.

Mangsa berumur 23 dan 36 tahun dari Kuantan tertipu selepas berurusan dengan ejen syarikat pinjaman yang mengiklankan pinjaman tersebut melalui Facebook dan WhatsApp.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes pertama melibatkan peniaga berusia 36 tahun berlaku 1 November lalu selepas tertarik dengan iklan pinjaman wang mudah yang iklankan melalui sebuah akaun Facebook.

Menurutnya, mangsa mahu meminjam sebanyak RM30,000 sebelum membuat permohonan dengan menyerahkan dokumen termasuk salinan kad pengenalan, salinan penyata akaun bank, penyata cukai pendapatan dan salinan pendaftaran syarikat bagi tujuan semakan kelayakan.

Iklan

"Mangsa yang kononnya layak membuat pinjaman dalam jumlah yang dinyatakan diminta untuk membuat bayaran RM3,600 untuk proses kelulusan dan dia menjelaskan melalui dua transaksi atas nama seorang lelaki pada 6 November lalu.

"Selepas membuat bayaran, mangsa ingin membatalkan pinjaman tersebut namun dimaklumkan jika berbuat demikian, dia akan dikenakan penalti,” katanya.

Iklan

Mohd Wazir berkata, mangsa rasa tertipu apabila wang pendahuluan yang dibayar gagal dipulangkan lalu membuat laporan polis semalam.

Dalam kejadian berasingan, pekerja kilang berusia 23 tahun juga berdepan situasi sama apabila berurusan dengan seorang lelaki untuk membuat pinjaman peribadi RM30,000 selepas tertarik dengan iklan yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kelmarin.

Mohd Wazir berkata, selepas menyerahkan dokumen berkaitan untuk semakan kelayakan, permohonan mangsa diluluskan namun dia diminta membayar beberapa bayaran proses dengan jumlah keseluruhan RM2,530.

"Selepas mangsa membuat bayaran berkenaan, dia juga berhasrat untuk membatalkan permohonan tersebut namun perlu membayar RM580 dan wang yang sudah dibayar sebelum ini juga tidak dipulangkan.

"Mangsa yang syak ditipu tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut dan kedua-dua kes dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.