KUALA MUDA - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengeluarkan arahan agar semua aktiviti sukan air di kawasan pantai sekitar Kuala Muda dihentikan berkuat kuasa serta merta.
Pegawai APM Kuala Muda merangkap sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana daerah Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, sebarang aktiviti pantai perlu dielakkan bermula 4 hingga 7 Januari nanti.
Katanya, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan orang ramai agar tidak ditimpa sesuatu yang tidak diingini.
"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menyatakan ribut tropika Pabuk sedang bergerak ke arah barat laut di Teluk Siam merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman.
"Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan juga fenomena angin kuat," katanya.
Katanya, ribut tropika ini akan menyebabkan hujan lebat berserta angin kencang dan ia amat membahayakan untuk aktviti pantai seperti menangkap ikan.
Azahar berkata, perkhidmatan feri dan bot penambang dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai juga dikawal.
"Aktiviti perkelahan di pusat rekreasi air terjun Tupah juga perlu dihentikan buat sementara waktu.
"Kita bimbang fenomena kepala air dan kita tidak mahu ada yang kehilangan nyawa," katanya.
Tambah Azahar seramai 150 anggota APM Kuala Muda berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.