Ekonomi sekitar Terminal Feri Antarabangsa Kukup kembali rancak

Iklan
Dengan pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang kembali beroperasi semula sepenuhnya pada Khamis dapat merancakkan lagi hasil jualan dan tempahan untuk inap desa dengan kemasukan pelancong. - Foto Bernama

PONTIAN - Pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat sini sejak Khamis lalu kembali menghidupkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar yang sebelum ini dilihat suram apabila terminal itu ditutup sementara lebih dua bulan.

Pembukaan semula pintu masuk negara itu sekali gus memberi kelegaan kepada masyarakat di situ khususnya peniaga dan pemandu teksi, yang terjejas apabila operasi di terminal itu dihentikan sejak 1 September.

Iklan
Iklan

Tinjauan di terminal itu mendapati suasana sekitar terminal itu kembali sibuk dengan pergerakan keluar masuk penumpang feri tempatan dan antarabangsa, malah rata-rata peniaga dan pemandu teksi yang ditemui juga kini mampu menarik nafas lega.

Kedai-kedai di sini sesak dengan kehadiran pelanggan tempatan dan negara seberang, sementara kelibat perkhidmatan teksi yang berkurangan sejak dua bulan lepas juga, kini kembali bertambah seperti sebelum ini.

Iklan

Peniaga restoran, Ong Lian Pen,51, berasa lega dan bersyukur kerana aktiviti perniagaan di kawasan itu kembali normal, malah jumlah pelanggan semakin bertambah.

"Sejak terminal ditutup bulan September lepas, pelanggan kurang, pendapatan merosot. Lagi risau bila pembukaan semula ditunda beberapa kali. Mujur kerajaan Johor mempercepatkan pembukaan terminal ini, perniagaan kami laris semula," katanya yang mengusahakan restoran makanan laut.

Iklan

Seorang peniaga runcit, Melati Jusoh, 39, berkata, pembukaan terminal itu turut mengembalikan pelanggan tetapnya dari negara seberang serta pelancong asing.

Operasi terminal feri itu dihentikan sementara pada 1 September lepas dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Terminal feri bagi perjalanan dari Kukup dan Terminal Tanjung Balai, Pulau Karimun, Indonesia itu pada awalnya dijadualkan dibuka semula pada 1 November lepas tetapi ditunda kepada 6 November. Bagaimanapun pada 5 November, kerajaan Johor sekali lagi mengumumkan penangguhan pembukaan terminal itu susulan masalah dokumentasi di pihak Indonesia, sebelum ia dibuka semula sepenuhnya pada 7 November.

Bagi penumpang feri dari Indonesia, Gajah Rooseno, 62, yang kerap datang ke Johor untuk membeli keperluan asas berkata pembukaan terminal itu bukti hubungan diplomatik dua negara itu amat sihat.

"Sebelum ini kami diberitahu terminal ditutup akibat masalah (teknikal) antara pihak Indonesia dan Malaysia, namun pembukaan semula ini bukti hubungan dua negara ini sememangnya baik," katanya.

Seorang lagi warga Indonesia, Inge Sutisna, 49, pula merasa lega dapat kembali melawat kawasan Kukup dan Pontian kerana memudahkan dia membeli barangan tempatan selain dapat bertemu kenalan dan ahli keluarganya yang menetap di negara ini.

Bagi pemandu teksi, Tan Ah Tee,70, berkata, kehidupan lebih 60 pemandu teksi di sini yang terjejas susulan penutupan sementara terminal itu sebelum ini, kini kembali baik apabila mendapat sambutan pelanggan.

"Pendapatan kami kembali normal dengan kehadiran pelancong di sini, saya berharap terminal ini tidak akan ditutup lagi atau kami terpaksa gulung tikar," katanya.

Pada peringkat awal ini, lima slot yang disediakan dari Kukup ke Tanjung Balai adalah pada jam 8 pagi, 10 pagi, 12 tengah hari, 2 petang dan 5 petang manakala di Tanjung Balai menawarkan lima slot ke Kukup pada jam 7.45 pagi, 9 pagi, 11 pagi, 1.30 petang dan 3 petang (waktu Indonesia Barat).

Secara purata dijangka lebih kurang 13,000 orang penumpang sebulan yang keluar melalui terminal berkenaan.

Perjalanan dari Kukup ke Tanjung Balai memakan masa kira-kira sejam. Tambang feri adalah RM100 bagi dewasa untuk perjalanan sehala dan RM125 bagi pergi-balik serta RM70 bagi kanak-kanak sehala dan RM85 pergi-balik. - Bernama