Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut ketika berkonvoi

Iklan
Pintu belakang bahagian kiri penumpang Proton Exora mengalami kerosakan kesan pelanggaran.

HULU SELANGOR - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM4 Jalan Sungai Tua-Ulu Yam Bharu berhampiran Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pagi tadi.

Ketika kejadian pada jam 10.15 pagi itu, mangsa, Zarir Osman,52, yang berasal daripada Bandar Bukit Beruntung, Rawang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda CBR mengikuti konvoi dari Selayang ke Genting Highlands.

"Sebaik tiba di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, mangsa tidak sempat mengelak Proton Exora yang dipandu lelaki berusia 50 tahun yang sedang memasuki ke simpang sekolah itu untuk menghantar anaknya.

Iklan

"Mangsa tiba-tiba melanggar bahagian belakang sebelah kiri Proton Exora berkenaan mengakibatkannya cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu MPV cedera di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Kejadian itu menyebabkan motosikal milik mangsa rosak di seluruh bahagian manakala Proton Exora berkenaan rosak di sebelah kiri bahagian penumpang belakang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.