KUALA LUMPUR - Sistem perbankan negara memiliki jumlah kecairan yang mencukupi manakala sistem monetari pula dalam keadaan sihat dan stabil, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Malaysia masih mempunyai lebihan akaun semasa yang tinggi iaitu pada RM22.7 bilion atau 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat September 2018 dan imbangan akaun semasa negara juga dijangka terus kekal positif untuk tahun ini.
"Ini salah satu faktor mengapa agensi penarafan antarabangsa telah memutuskan untuk mengekalkan penarafan kredit kerajaan dan juga mendorong (media kewangan antarabangsa) Bloomberg untuk menobatkan Malaysia sebagai negara terbaik dalam senarai 20 pasaran baharu muncul bagi tujuan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan oleh Kementerian Kewangan (MoF) itu adalah sebagai menjawab penularan artikel lama bertarikh Oktober 2018 oleh pihak tidak bertanggungjawab yang memetik laporan Nikkei bagi memberi gambaran salah bahawa keadaan ekonomi Malaysia semasa adalah buruk dan menyiarkan beberapa statistik lama yang kurang memberangsangkan.
Artikel berusia lebih dua bulan tersebut merujuk kepada angka perdagangan bagi Ogos 2018 dengan menyatakan bahawa lebihan dagangan bulan itu berjumlah RM1.6 bilion adalah terendah dalam tempoh 45 bulan sebelumnya.
Mengulas perkara itu, Lim sebaliknya menegaskan, persepsi yang diberikan oleh angka bulanan adalah tidak tepat kerana ia tidak mampu menggambarkan prestasi ekonomi Malaysia untuk keseluruhan tahun.
"Ini terutamanya apabila hanya dua bulan kemudian selepas Ogos, lebihan dagangan bagi Oktober 2018 telah meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM16.3 Bilion.
"Eksport pula telah naik 17.7 peratus kepada RM96.4 bilion pada bulan sama dan ini juga merupakan paras tertinggi yang pernah dicatatkan.
"(Oleh itu) peningkatan drastik ini menunjukkan bahawa data bulanan mudah berubah dan sifatnya yang tidak stabil menyebabkannya kurang sesuai untuk dijadikan satu-satunya rujukan mengenai keadaan ekonomi negara bagi seluruh tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar tidak mudah hilang fokus hanya kerana perubahan jangka masa pendek, terutamanya apabila gambaran keadaan ekonomi yang menyeluruh hanya boleh diberikan secara komprehensif dengan trend yang berjangka masa lebih panjang.
"Walaupun perangkaan seperti Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan terbitan Nikkei yang jatuh ke paras 46.8 mata dalam Disember mungkin relevan untuk bulan tersebut, ia sebaliknya tidak boleh digunakan bagi menggambarkan keadaan ekonomi Malaysia untuk seluruh tahun.
"Malah, angka PMI mungkin akan naik dalam bulan-bulan mendatang seperti mana prestasi perdagangan bagi bulan Oktober 2018 yang telah meningkat secara mendadak.
"Tambahan lagi, perangkaan dalam jangka masa lebih panjang seperti pelaburan langsung asing yang diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2018 telah meningkat 250 peratus kepada RM49 bilion,” katanya.
Menurut Lim, pelaburan-pelaburan tersebut juga akan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat.
Dari segi prestasi, pasaran saham Malaysia pula adalah yang kedua terbaik dalam Asia Pasifik bagi 2018, kata beliau. - Bernama