BERLIN - Jerman menyambut ulang tahun ke-30 runtuhnya Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Timur dan Jerman Barat semalam dengan Presiden Frank-Walter Steinmeier mengucapkan terima kasih kepada negara jiran di Eropah Timur yang mencetus revolusi aman.
Pada Ogos 1989, buat pertama kalinya pengawal sempadan Hungary membenarkan penduduk Jerman Timur memasuki Austria sekali gus membuka jalan kepada keruntuhan Tembok Berlin tiga bulan kemudian dan pengakhiran Iron Curtain.
Iklan
Iklan
Keruntuhan tembok yang memisahkan Jerman Timur yang dikuasai Komunis dan Jerman Barat yang ditadbir kapitalis selama hampir tiga dekad itu diikuti dengan penyatuan Jerman pada tahun 1990.
"Tanpa keberanian dan semangat rakan-rakan kita dari Poland, Hungary, Slovakia dan Republik Czech, revolusi damai di Eropah Timur dan penyatuan Jerman tidak mungkin terjadi," kata Steinmeier ketika majlis khas di Memorial Tembok Berlin Bernauer Strasse yang turut dihadiri Canselor Angela Merkel.
Steinmeier berkata, kejayaan itu tidak menandakan berakhirnya sejarah sebaliknya beliau menyeru Jerman dan sekutu Eropah untuk teguh bersatu.
Kenyataan Steinmeier turut disokong Merkel yang berkata, nilai yang membentuk Eropah termasuk kebebasan, demokrasi dan kesaksamaan harus terus dipertahankan. - Agensi
Artikel Berkaitan