SINTOK - Kerajaan berharap SME Corporation Malaysia (SME Corp) dapat memperluaskan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kepada golongan asnaf bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan ahli perniagaan, sekali gus menambah baik kualiti hidup golongan itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, langkah itu juga sebagai usaha mentransformasikan golongan asnaf daripada status penerima zakat kepada pembayar zakat.
Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat itu, kerajaan menyarankan SME Corp bekerjasama dengan majlis agama Islam di setiap negeri bagi mengenal pasti golongan asnaf yang berpotensi.
"Buat masa ini (sudah ada) program dinamakan Program Tunas Usahawan Baitulmal (PTUB) yang juga jalinan kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corp melibatkan 100 peserta.
"Majlis agama islam negeri lain pun dah maklum mengenai program ini dan saya berharap supaya majlis-majlis agama negeri atau pihak zakat negeri akan ambil ini sebagai satu kaedah untuk membantu asnaf dan melahirkan usahawan berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan TUBE 6.0 yang melibatkan penyertaan seramai 95 orang peserta zon utara di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said.
Dr Mohd Hatta berkata, untuk tahun ini seramai 556 calon belia termasuk 29 peserta orang kurang upaya (OKU) menjalani latihan menerusi TUBE di lima pusat latihan dan kem di seluruh negara selama tiga minggu bermula pada 3 November lepas.
"Kesemua peserta akan melalui tiga fasa bagi mempersiapkan diri sebelum memulakan perniagaan supaya memiliki daya tahan dari segi mental dan fizikal," katanya.
Menurutnya, peserta didedahkan dengan landskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar dan selepas tamat latihan, peserta dipantau dan dibimbing selama 12 bulan menerusi sistem ‘buddy’ oleh kaunselor perniagaan SME Corp.
TUBE yang dilancarkan sejak dua tahun lalu mendapat sokongan lebih 30 rakan strategik di peringkat Persekutuan dan negeri antaranya Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SME Bank, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertahanan Malaysia. - Bernama