Tauke Mee Celup RM1 pernah buta

Iklan
Gerai sering dipenuhi pelanggan mahu menikmati pelbagai mi sup yang lazat dengan hanya RM1.

TUMPAT - Pemilik gerai Mee Celup RM1 yang tular di Kampung Delima, Wakaf Bharu, Tumpat berkongsi pengalaman pahit pernah dialaminya apabila buta pada kedua-dua belah mata dan hampir berputus asa terhadap kehidupan dunia.

Kejadian itu berlaku terhadap Zailani Ismail, 47, kira-kira enam tahun lalu dan menjadi sebagai pengalaman hidup paling perit pernah dilaluinya.

Iklan
Iklan

Zailani yang juga penghidap kencing manis berkata, kejadian itu menyebabkan seluruh dunianya gelap-gelita dan dia teraba-raba akibat tidak mampu melihat seperti biasa.

Menceritakan semula detik itu menurutnya, dia baru selesai menunaikan solat Asar dan ketika sedang menadah tangan berdoa di atas sejadah, secara tiba-tiba pandangannya terus bertukar kelam, gelap dan kehitaman.

Iklan

"Masa itu saya jerit memanggil anak sulung dan tanya kenapa mata saya tidak nampak. Beberapa kali saya menggosok kelopak mata, namun pandangan saya tetap gelap.

"Saya menangis meraung-raung meminta anak membawa saya ke hospital dan tiba di sana, pemeriksaan doktor yang dijalankan mendapati saraf mata saya terputus dan darah sudah memenuhi kesemua ruangan dalam mata,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini hari ini.

Iklan
Seorang pelanggan cilik yang berselera menikmati bihun celup yang berharga RM1.

Menurutnya, selama dua tahun dia melalui zaman gelapnya itu, segala urusan seharian dibantu oleh isteri dan lima anaknya yang berusia antara 7 hingga 19 tahun sebelum dibantu oleh Majlis Agama Islam Kelantan bagi menjalani pembedahan mata.

"Selepas dua tahun menderita kerana tiba-tiba buta, mata saya pulih kembali dan meneruskan kehidupan kami yang serba kesempitan.

"Saya sudah 20 tahun berniaga dan pernah hanya mendapat RM1 dalam tempoh sehari berniaga. Kadang-kadang, kalau dapat hasil niaga RM50 pun makin bukan main seronok.

"Pada masa sama, saya diuji dengan sakit buah pinggang dan pernah meninggalkan anak-anak selama 10 hari di rumah kerana dimasukkan ke wad,” katanya.

Jelasnya, keadaan hidupnya itu bagaimanapun berubah selepas dia niat bersedekah melalui perniagaannya menerusi idea anak sulungnya, Siti Aminah untuk membuat kelainan menjual mi celup berharga RM1 semangkuk.

"Saya berniaga mi celup dan nasi air dengan harga RM3 sudah lama tetapi tidak berapa laku dan hidup kami sangat susah.

"Kalau dulu, sebungkus bihun itu dua hari pun belum tentu habis tetapi kini alhamdulillah, pelanggan bertali arus hingga perlu menyediakan 20 ekor ayam.

"Insya-ALLAH, harga mi, bihun, kuetiau, makaroni celup, nasi air dan pelbagai jenis air hanya dengan harga RM1,” katanya.

Menurutnya, dia gemar berkongsi kisah hidupnya supaya menjadi sumber inspirasi dan tauladan kepada pesakit dan orang susah lain untuk memulakan sebarang perniagaan sepertinya.

"Saya juga ingin berkongsi satu pengalaman, baru-baru ini ada sekumpulan pelajar tahfiz datang makan di gerai saya dan saya niatkan bersedekah untuk mereka.

"Keesokannya saya ke Tunjong untuk membeli sayur sebagai persiapan mi celup dan ada peniaga sayur yang menyapa saya berikutan mi celup RM1 yang tular.

"Tiba-tiba peniaga itu pula yang sedekahkan kepada saya berikat-ikat sayur kangkung, sekotak kubis, daun sup yang keseluruhannya kira-kira 45kg sambil berkata pada saya bahawa dia juga ingin bersedekah,” katanya.