Tidak wajar hantar anak kecil berdikari di asrama

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Zarimi Shubrawi

KUANTAN - Kes kematian murid berusia tujuh tahun dipercayai akibat dipukul rakan di sebuah pusat tahfiz di Temerloh kelmarin perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak khususnya ibu bapa supaya lebih cakna dan bertanggungjawab terhadap anak masing-masing.

Keputusan ibu bapa memilih pusat tahfiz untuk menghantar anak-anak dengan harapan menjadi anak soleh dan solehah wajar dipuji namun bagi anak yang masih kecil ia terlalu awal untuk dilepaskan berdikari.

Iklan
Iklan

Mudir Maahad Tahfiz Al Istiqamah, Temerloh, Mohd Zarimi Shubrawi berpendapat, beliau juga kurang bersetuju andainya anak-anak berumur peringkat rendah dihantar ke pusat tahfiz dan tinggal di asrama dalam keadaan mereka tidak boleh mengurus diri sendiri atau berdikari.

Menurutnya, sepatutnya ibu bapa perlu lebih cakna dengan mengambil peranan menjaga, mendampingi dan mendidik anak-anak yang masih kecil bukan dilepaskan untuk tinggal di asrama di bawah tanggungjawab pihak lain.

Iklan

"Hantarlah anak-anak pada usia sewajarnya ketika mereka sudah mampu berdikari dan boleh bawa diri bila berada di asrama atau pusat pengajian.

"Timbul juga isu di mana anak-anak kecil ini dihantar masuk ke pusat tahfiz dalam keadaan masih tidak boleh membaca al-Quran menyebabkan proses pengajian terbantut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Mohd Zarimi berkata, dalam isu ini, pihak pusat tahfiz juga mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas supaya kualiti pendidikan tahfiz dapat terus dilaksanakan sebaik mungkin dalam melahirkan lebih ramai tahfiz yang berkualiti.

"Mudir dan gurunya sepatutnya ada latar belakang bidang tahfiz supaya kemenjadian pelajar-pelajar yang dididik akan memahami realiti kehidupan sebagai pelajar tahfiz.

"Senario hari ini kita lihat maahad tahfiz tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Ia satu perkembangan cukup baik di mana tingginya permintaan ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke institusi ini,” katanya.

Katanya, seiring dengan permintaan tinggi terhadap institusi tersebut, beliau sangat bersetuju agar semua pusat tahfiz yang beroperasi perlu berdaftar dengan pihak berkuasa agama atau pihak berwajib.

"Dalam soal ini, kita tidak boleh menyalahkan pihak tahfiz sahaja jika mereka tidak berdaftar kerana ada yang cuba berbuat demikian namun tidak mendapat kerjasama beberapa pihak berkaitan dalam proses membuat pendaftaran.

"Justeru sewajarnya semua pihak berkaitan membantu dengan mempermudahkan proses pendaftaran sekiranya pusat-pusat tahfiz ini memenuhi syarat ditetapkan atau diberikan sedikit kelonggaran,” katanya.

Mohd Zarimi berkata, peruntukan juga perlu disalurkan kepada pusat tahfiz berdaftar supaya ia boleh digunakan untuk operasi dan menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelajar.

"Difahamkan ada pusat tahfiz yang berdaftar masih belum menerima peruntukan walaupun proposal kepada pihak berwajib untuk proses memohon peruntukan seperti mana diumumkan kerajaan sebelum ini sudah dihantar,” katanya.

Menurutnya, semua pihak perlu bekerjasama dalam membantu meningkat prestasi maahad tahfiz yg kini sudah menjadi pilihan utama ibu bapa untuk memberikan pendidikan kepada anak mereka.

"Bagi pihak pengurusan tahfiz pula, sama-sama kita perbaiki dan diperkemaskan sistem pengurusan, sistem kewangan dan pertingkatkan kemahiran guru-guru supaya kualiti pendidikan tahfiz dapat terus dilaksanakan dengan jayanya," katanya.