PONTIAN - Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai diingatkan agar membawa kad pengundi pada hari pengundian 16 November ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian masing-masing lebih awal sebelum hari pengundian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kad pengundi atau catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan Kerani Pengundian Pertama (KP1) untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.
"Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan, kad pengundi atau catatan maklumat pengundian dan menunjukkannya kepada (KP1) untuk semakan nama pengundi.
"Pengundi yang telah menerima kad pengundi atau telah mengetahui maklumat pengundian tidak perlu membuat semakan lagi di borang semakan SPR dan boleh terus ke saluran mengundi," katanya menerusi kenyataan media semalam.
Sementara itu, Azhar berkata, pengundi yang baru membuat semakan disarankan mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih
"Pengundi boleh membuat semakan di portal semakan pemilih https://pengundi.spr.gov.my atau Hotline SPR di talian 03-88927018 atau Aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 taip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN)," katanya.