IPOH - Pembantu rumah warga Indonesia yang terbabit dalam pertuduhan kes rogol membabitkan Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini bagi proses perbicaraan yang dijalankan secara tertutup.
Wanita berusia 23 tahun yang juga saksi utama dalam kes berkenaan dimaklumkan tiba sekitar jam 8 pagi menaiki kenderaan Jabatan Perdana Menteri kerana mangsa dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi.
Paul Yong pula tiba dengan memakai sut kelabu menaiki kenderaan peribadi jenis BMW pada jam 8.55 pagi.
Sebaik tiba, kawasan pekarangan mahkamah dikawal ketat anggota polis, media turut tidak dibenarkan masuk.
Pada prosiding perbicaraan hari pertama hari ini, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, sementara Datuk Rajpal Singh mengetuai pasukan pembelaan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak berusia 49 tahun itu berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu.
Tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Pada prosiding 23 Ogos lalu, wakil rakyat dari DAP itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dikenakan dan minta dibicarakan.
Perintah perbicaraan secara tertutup dibenarkan Hakim Norashima Khalid setelah dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding pengurusan kes itu, 22 Oktober lalu.
Kira-kira 200 ahli penyokong parti dengan sebahagiannya membawa plakad berkumpul di hadapan pintu masuk mahkamah menyatakan sokongan terhadap tertuduh.