SABAK BERNAM - Seorang peniaga berputih mata apabila beg silang yang mengandungi wang tunai RM600 yang ditinggalkan di dalam raga motosikalnya dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Ladang Air Manis di sini semalam.
Kejadian jam 9.25 pagi itu tular di laman sosial Facebook menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit enam saat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 35 tahun berada dalam kedai runcit terbabit.
"Mangsa yang kembali ke motosikalnya terkejut apabila beg silangnya yang ditinggalkan dalam raga motosikal hilang.
"Selain wang tunai, beberapa barangan lain turut hilang antaranya dokumen penting, kunci rumah dan kunci traktor, surat pajak dan kad ATM (mesin juruwang automatik)," katanya.
Chee Khoon berkata, mangsa kemudiannya membuat semakan pada CCTV dan mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal Modenas Kriss melarikan beg silang terbabit.
Katanya, sehingga kini polis sedang giat mengesan seorang suspek yang terlibat dalam kes itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Berdasarkan rakaman CCTV itu, seorang lelaki yang memakai topi keledar dilihat menunggang motosikal dan meletakkan kenderaannya di hadapan kedai runcit terbabit.
Lelaki itu kemudiannya memasuki kedai berkenaan dan membeli beberapa barangan sebelum keluar semula dari kedai itu.
Sejurus menghidupkan enjin motosikalnya, lelaki itu kelihatan menghampiri sebuah motosikal bersebelahan lalu mengambil beg silang di dalam raga dan terus melarikan diri.