'Saya kehilangan sahabat istimewa'

Iklan
Foto terakhir Johan bersama Allahyarham (kiri).

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menyifatkan pemergian kolumnis Sinar Harian, Wan Haron Wan Hassan satu kehilangan besar kepadanya.

Beliau menganggap Wan Haron bukan sahaja seorang rakan karib malah sahabat istimewa kerana sudah terlalu lama mengenali Allahyarham.

Iklan
Iklan

"Sudah lebih 40 tahun saya mengenali Allahyarham. Banyak pengalaman kami tempuhi bersama-sama.

"Kehilangannya cukup dirasakan kerana beliau seorang sahabat yang istimewa dan sentiasa disenangi oleh rakan-rakan. Seorang yang mudah mesra dan senyumannya sentiasa menjadi identiti beliau,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Menurut moderator program Bicara Minda Sinar Harian itu, Allahyarham seorang peguam yang berwibawa dan sentiasa memperjuangkan nasib ‘orang-orang kecil’ yang terpinggir.

"Allahyarham seorang yang sentiasa percaya pada keadilan dan kebebasan menyuarakan pandangan.

Iklan

"Menurut beliau, demokrasi memerlukan kesediaan menyatakan pendirian dan mendengar pandangan orang lain walaupun berbeza dengan pandangan kita,” katanya.

Tambah Johan, Wan Haron seorang yang cekal dan mempunyai semangat juang yang luar biasa.

"Beliau disahkan menghidap kanser akhir tahun lalu dan menganggapnya sebagai dugaan ALLAH.

"Allahyarham tidak pernah putus asa dan terus berjuang dengan cekal melawan penyakitnya itu. Walaupun tewas tetapi semangat juangnya cukup luar biasa,” katanya.

Wan Haron, 67, meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi tadi selepas menderita akibat kanser.

Beliau yang juga seorang peguam kanan yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun merupakan penulis tetap di kolum Bicara Hati sejak setahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kolumnis Sinar Harian meninggal dunia